Siakap Keli

Bomba Selamatkan Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Kereta Di Johor

JOHOR BAHRU, 5 Feb  — Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terperangkap hampir 30 minit dalam kereta ibunya di sebuah stesen minyak berhampiran Bangunan Kastam Johor Bahru di sini, awal pagi ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Zulkarnain Arifin berkata seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama sebuah jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua Motosikal Gerak Cepat (RIM) bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.03 pagi.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang kanak-kanak perempuan terperangkap dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Ketika kejadian, ibu kepada mangsa telah keluar membeli makanan di lokasi kejadian dan meninggalkan mangsa di dalam kereta dalam keadaan enjin kereta hidup dan kereta terkunci dari dalam secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya orang awam dan ibu mangsa cuba membuka pintu kereta berkenaan sementara menunggu bomba tiba namun gagal.

Beliau berkata pihak bomba mengambil masa sekitar tiga hingga lima minit menggunakan alat khas bagi membuka pintu kereta tersebut yang akhirnya berjaya dibuka pada 8.18 pagi dan mangsa berada dalam keadaan menangis.

Dalam kejadian berasingan, seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan terperangkap di dalam sebuah kereta selama hampir 30 minit di Pejabat Hartabina, Bangunan S53, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dekat Skudai awal hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba Skudai Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Faisal Ismail berkata seramai  11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)  dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.17 pagi.

“Setibanya PKO di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang bayi terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Ford,” katanya.

Beliau berkata ketika kejadian ibu bapa mangsa keluar dari kenderaan untuk ke pejabat dan meninggalkan dua anak mereka termasuk mangsa dalam kereta itu.

Katanya selepas itu abang mangsa turut keluar dari kereta dan mangsa masih berada di dalam kenderaan itu apabila  secara  tiba-tiba pintu kereta tersebut tertutup dan terkunci.

“Ibu bapa mangsa kemudian terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan oleh bomba kira-kira pukul 8.29 pagi dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya lagi.

Sumber :BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul