Siakap Keli
Gambar: Dr Wan Azizah Ismail

Koronavirus: TPM Minta Skuad Negara Jaga Keselamatan Di Manila

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan barisan pemain dan jurulatih ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Manila minggu depan supaya menjaga keselamatan dan kesihatan sebaik mungkin berikutan penularan novel koronavirus 2019.

Beliau, yang juga merupakan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), telah menyampaikan amanat tersebut ketika bertemu kontinjen negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya hari ini.

“Terima kasih dan tahniah kerana anda menggalas tanggungjawab sebagai duta kecil Malaysia dan dalam hal ini, anda membawa nama negara bertanding di peringkat Asia. Saya ucapkan selamat maju jaya, pastikan bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan buat sehabis baik.

“Saya juga berharap anda semua menjaga keselamatan dan kesihatan anda sehabis baik berikutan penularan koronavirus ini,” beliau dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan daripada BAM.

Selain barisan pemain dan jurulatih, turut hadir pada perjumpaan itu ialah Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Kejohanan di Manila mulai Selasa depan turut menjadi pusingan kelayakan Piala Thomas dan Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark, bermula 16 hingga 24 Mei itu.

Pasukan lelaki Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan dan Singapura manakala skuad wanita dalam Kumpulan W bersama Jepun dan Hong Kong.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa