Siakap Keli
Gambar: Facebook/Bernama

Lembaga Zakat Kedah Bidas Tuduhan Wanita Persoal Agihan Zakat, ‘Kantoi’ Sebenarnya Surat Permohonannya Tak Lengkap

Proses pengagihan zakat sering menjadi isu dan perdebatan dalam kalangan netizen di media sosial. Terbaru, seorang individu tampil menuduh pihak pengurusan zakat tidak cakna tentang permohonan ibunya yang didakwa merupakan seorang asnaf.

Lantaran itu, lembagai zakat tempatan tampil memberi penjelasan bagi pihak mereka.

Lebih kurang jam 3 petang tadi, pihak kami ada menerima satu posting tular daripada seorang pengguna Facebook yang mengeluarkan kenyataan bahawa zakat tidak memberi perhatian terhadap permohonan bantuan rumah yang dipohon ibu beliau di Sik.

Katanya adakah pihak LZNK ingin menunggu rumah beliau runtuh dahulu baru nak datang tengok.

Untuk makluman semua, setiap hari, beratus borang permohonan yang diterima bagi skim bantuan membina dan membaik pulih rumah dan setiap permohonan akan disiasat dengan teliti supaya hanya asnaf yang benar-benar layak sahaja yang menerima zakat.

Hasil siasatan yang dibuat, borang permohonan ibu beliau baru sahaja 2 minggu yang lalu dihantar kepada penolong amil kariah ibu beliau yang seterusnya diserahkan kepada Pejabat Zakat Daerah Sik.

Hasil semakan juga mendapati borang yang dihantar tersebut tidak lengkap beserta dengan masalah tanah yang belum selesai.

Pemohon mempunyai 6 orang anak, iaitu 2 orang lelaki dan 4 orang perempuan dan kesemuanya bekerja. Pemohon sebelum ini tinggal bersama anaknya di Jelebu, Negeri Sembilan selama 5 tahun dan hanya pulang ke rumah yang dimaksudkan kira-kira baru 3 bulan yang lalu. Manakala pengadu tinggal di kariah lain iaitu di kariah Kg. Kerawai.

Samakan dengan haiwan

Kesan daripada posting tular yang dibuat beliau telah mengundang pelbagai persepsi dan komen negatif daripada masyarakat awam tanpa memahami situasi sebenar yang berlaku. Ada juga netizen yang terus menyamakan institusi Islam dengan haiwan yang diharamkan oleh Allah akibat daripada posting tersebut.

 

Selang lebih kurang satu jam kemudian, posting beliau telah dipadam dan beliau telah membuat kenyataan maaf secara terbuka.

Lulus zakat lebih RM12 juta

Untuk makluman semua, bagi tahun 2019 sahaja, Lembaga Zakat Negeri Kedah telah meluluskan lebih kurang 376 buah rumah bagi baikpulih yang menelan belanja lebih RM8.6 Juta.

Manakala bagi bantuan membina rumah pula, sebanyak 94 buah rumah telah diluluskan untuk dibina yang menelan belanja lebih RM4 Juta.

Oleh itu, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah ingin menasihati kepada semua masyarakat supaya lebih berhati-hati dan menjaga tutur kata dalam memberikan sebarang komen tanpa mengetahui kisah sebenar yang akhirnya boleh mengundang persepsi yang lebih buruk kepada institusi agama yang kita cintai.

Ingatlah sabda Nabi SAW:

من سنَّ في الإسلام سنة حسنة فله أجرها وأجر من عمل بها بعده من غير أن ينقص من أجورهم شيءٌ، ومن سنَّ في الإسلام سنة سيئة كان عليه وزرها ووزر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أوزارهم شيءٌ

“Barangsiapa yang menunjuki kepada satu perkara baik di dalam Islam, maka baginya pahala, dan pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan barangsiapa yang menunjuki kepada satu perkara yang buruk, maka baginya dosa, dan dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Firman Allah SWT juga di dalam Surah Qaf ayat 18:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

“Tidaklah dilafazkan sesuatu perkataan (oleh manusia) kecuali akan dicatat baginya oleh malaikat yang berada di sisi.”

Semoga kita semua beroleh manfaat dan keinsafan. Doakan supaya kami dapat mengagihkan zakat anda dengan lebih baik.

Zakat Anda Kami Agih.

Lembaga Zakat Negeri Kedah
9 Februari 2020

Sumber: Lembaga Zakat Negeri Kedah

Amira

Love yourself.