Siakap Keli

2020 Tahun Penting Bagi Biodiversiti Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Feb — Tahun 2020 menjadi tahun penting bagi biodiversiti negara dengan penubuhan Pusat Biodiversiti  Negara dan semakan semula undang-undang berkaitan perlindungan hidupan liar dan hutan, bakal menjadi tumpuan.

Menteri  Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr A. Xavier Jayakumar berkata, 2020 juga akan menyaksikan Malaysia menganjurkan Persidangan Biodiversiti ASEAN (ACB 2020) ketiga yang akan membolehkan negara menilai pencapaiannya berbanding sasaran biodiversiti global dan serantau.

“Pusat biodiversiti sering diperkatakan tetapi tidak ditubuhkan. Bagaimanapun sekarang kita ada peruntukan belanjawan untuk membina pusat itu yang dikenal pasti akan terletak di Paya Indah Wetlands di Banting. Kami juga bekerjasama dengan sektor swasta dalam penubuhan pusat itu.

“Malaysia ialah negara biodiversiti mega, flora dan faunanya menempatkan spesies paling unik di dunia, dan kami sentiasa menemukan spesies baharu. Pusat ini akan membolehkan kami meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain dan juga badan bukan kerajaan (NGO), dalam usaha meningkatkan pengetahuan tentang biodiversiti kita, ” katanya dalam temu bual  dengan Bernama baru-baru ini.

Pusat Biodiversiti Negara berobjektif untuk berfungsi sebagai peneraju dalam menguruskan pengumpulan data mengenai khazanah biodiversiti negara, penyelidikan biodiversiti dan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

Xavier berkata terdapat beberapa kawasan dilindungi di Malaysia dengan beberapa daripadanya telah diubah menjadi Geopark seperti Langkawi UNESCO Global Geopark dan Geopark Lembah Kinta.

Menurutnya,  Malaysia juga dalam waktu terdekat akan mengumumkan lima lagi Geopark dan menurutnya Johor, Pahang, Kedah, Perlis, dan Labuan ialah antara negeri yang berminat mewujudkan Geopark.

Sementara itu, Xavier berkata sebaik sahaja menerajui kementerian itu, beliau merancang untuk melakukan pembaharuan undang-undang dan selepas dua tahun, kementerian memutuskan untuk menyemak beberapa undang-undang.

“Antara lain, kami memutuskan untuk menyemak semula Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perhutanan Negara 1984, Tujuan utama pindaan ini adalah untuk mengetatkan lagi undang-undang khususnya membabitkan kesalahan berkaitan aktiviti haram di hutan,” katanya.

Cadangan pindaan terhadap  Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perhutanan Negara 1984 masing-masing akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Mac dan November.

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan itu mencadangkan  penalti dinaikkan 100 peratus berserta hukuman penjara, bagi kesalahan berkaitan perbuatan mengiklankan dalam talian penjualan bahagian-bahagian haiwan dan memiliki haiwan yang dilindungi atau bahagiannya.

Selain itu, katanya selepas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama-sama polis dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan operasi Ops Belang dan Operasi Bersepadu Khazanah pada tahun lepas untuk menangani pemburuan haram di negara ini,  keadaan telah bertambah baik.

Menurut Xavier,  82 pemburu haram  telah ditangkap dalam operasi itu dan ini telah berjaya mengekang aktiviti pemburuan haram.

Mengenai ACB 2020, beliau berkata negara  ASEAN serta negara megadiversiti dijangka mengambil bahagian dalam persidangan itu yang akan diadakan dari 16 hingga 20 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

ACB 2020 akan membincangkan pembangunan Rangka Kerja Biodiversiti Global Pasca 2020 (GBF) dan kemajuan dicapai negara anggota ASEAN (AMS) dalam mencapai Sasaran Biodiversiti Aichi khususnya Sasaran 11 mengenai kawasan dilindungi dan Sasaran 12 mengenai pemuliharaan spesies .

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.