Siakap Keli

Bayi 10 Bulan Ditemui Dengan Badan Melecur, Maut Dalam Rumah Terbakar

TAMPIN, 19 Feb — Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Bangkahulu, Gemas, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin DSP Ahmad Pilus Zainal berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Nur Aini Zulimi.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada pukul 11.50 pagi menerusi panggilan telefon daripada  orang awam.

“Punca kebakaran masih belum diketahui dan masih menunggu laporan daripada pihak bomba. Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gemas Mohd Farid Abu Bakar berkata bayi berkenaan dijumpai dalam keadaan melecur kira-kira 30 peratus di badan akibat kebakaran.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala rumah berkenaan terbakar kira-kira 60 peratus. Bagaimana pun punca kebakaran masih dalam siasatan. Mangsa telah dibawa ke Hospital Tampin untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata seramai 18 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan Gemencheh digerakkan ke lokasi kejadian.

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.