Siakap Keli
Kredit: Google

Saintis China Beri Amaran, Covid-19 Mungkin Jadi Penyakit ‘Selesema Baru’ Untuk Jangka Panjang

Biarpun kadar jangkitan baru koronavirus di China sedang menurun, saintis tempatan mengingatkan agar dunia bersedia terhadap sebarang kebarangkalian masa hadapan. Mereka mendakwa penyakit itu mungkin bakal menjadi penyakit ‘selesema baru’ pada masa akan datang.

Presiden Akedemi Sains Perubatan, Wang Chen berkata, Covid-19 berbeza dengan virus yang menyebabkan Sindrom Masalah Pernafasan Akut (SARS) yang mudah berjangkit dan membawa maut.

“Koronavirus baru ini mungkin menjadi penyakit baru jangka masa panjang yang wujud dalam kalangan manusia, seperti selesema,” ujarnya seperti dilaporkan South China Morning Post.

Setakat semalam, jangkitan baru koronavirus di luar wilayah Hubei dilaporkan menurun selama 16 hari berturut-turut manakala kes jangkitan baru di dalam wilayah berkenaan berkurang buat hari ketujuh.

Walaubagaimanapun, pembantu profesor bahagian kesihatan dan ekonomi di Yale School of Public Health, Chen Xi berkata masih terlalu awal untuk menyimpulkan jangkitan telah mencapai kemuncak.

“Kunci utama untuk membendung virus berkenaan adalah penyelidikan saintifik,” katanya.

Tambahnya lagi, permintaan terhadap bekalan perubatan tetap tinggi dan orang ramai berada pada tahap kritikal untuk melawan penyakit ini.

Biarpun penutupan kejiranan di Wuhan telah dijalankan, keberkesanannya masih belum dapat dilihat, katanya.

Sebanyak 394 kes baru dilaporkan di China dengan 114 kematian setakat tengah malam Rabu lalu.

Setakat ini, virus itu telah menjangkiti 75,725 orang dari 27 buah negara dengan kematian keseluruhan 2,128.

Sementara itu, berdasarkan laporan Suruhanjaya Kesihatan China, jumlah pesakit yang telah sembuh pula telah mencapai 16,155 orang.

Sumber: South China Morning Post

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.