Pengguna Telegram yang menggunakan iPhone dinasihatkan supaya mengemas kini sistem operasi peranti masing-masing kepada versi iOS terkini bagi mengurangkan risiko digodam.
Menerusi hantaran di X pada Sabtu, pengasas Telegram, Pavel Durov, mendakwa bahawa pengguna iPhone sedang menjadi sasaran penggodaman secara besar-besaran.
“Jika versi iOS anda ketinggalan walaupun sedikit, semua data anda berisiko terdedah.
“Hanya dengan membuka sesebuah laman web, peranti anda sudah boleh digodam,” katanya.
Ujarnya lagi, Telegram sedang menghantar amaran tersebut kepada semua penggunanya yang masih menggunakan versi iOS lama.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan Durov, amaran keselamatan itu turut menyertakan langkah-langkah untuk mengemas kini perisian berkenaan.
“Kemas kini iOS untuk melindungi telefon anda. Versi iOS anda sudah lapuk dan mengandungi kelemahan keselamatan yang boleh menyebabkan data serta akaun anda berisiko,” menurut mesej amaran tersebut.
Cara kemas kini iOS:
Buka Tetapan (Settings) pada telefon anda.
Pergi ke Umum (General) → Kemas Kini Perisian (Software Update).
Pasang kemas kini iOS terkini yang tersedia.
