Siakap Keli

Terbeban Dengan Hutang, Isteri Sanggup Jadi ‘Orang Gaji’ Terhadap Suami

Hidup dalam perhubungan toksik sememangnya tidak dapat membahagiakan seseorang. Ianya juga pasti akan menjadi punca kepada keruntuhan sesebuah rumah tangga itu.

Keindahan percintaan sebelum berkahwin pastinya akan mula terpadam sedikit demi sedikit akibat hidup dalam keadaan seolah-olah rasa tidak dihargai.

Seorang penulis yang bernama Akhtar Syamirada berkongsikan tentang kisah sedih seorang isteri yang didakwa hidup dalam perhubungan toksik. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

Kisah sedih seorang isteri

Satu perkongsian sedih seorang isteri. Hayatilah, ambillah iktibar dan jadikan sempadan.

Sejurus selepas perkahwinan, pasangan ini baru sedar yang mereka tiada apa-apa. Tiada, kereta dan motor untuk bergerak ke sana sini, tiada barang keperluan rumah seperti peti ais, mesin basuh, dan dapur untuk memasak. Bukan itu sahaja, gas pun tiada.

Si isteri bersangka baik, mungkin suaminya tidak mempunyai duit yang cukup. Jadi, dia bantu dengan duit simpanannya untuk beli semua keperluan itu dengan harapan suaminya akan membantu di bahagian yang lain.

Keluarlah mereka berdua suami isteri menumpang kawan hatta untuk membeli barang dapur sekalipun memandangkan suaminya tidak tahu bawa motor atau kereta. Kawasan rumah mereka pun jauh dari pengangkutan awam. Tebal mukalah si isteri menahan malu setiap kali perlu ke kedai.

Buat keputusan beli kereta

Si isteri kemudiannya membuat keputusan untuk membeli kereta. Cukup untuk dia ke sana sini untuk menghantar suaminya ke sana sini, mengaji, membeli keperluan dapur, ulang alik ke hospital dan sebagainya. Bayaran muka si isteri keluarkan dalam RM10k bagi mengurangkan beban bayaran bulanan suaminya.

Harapan bantuan dari suami bertahan selama 3 tahun sahaja. RM300 sebulan untuk kereta diabaikan umpama ianya tidak wujud. Terpaksalah si isteri mencari kerja semula untuk menanggung hutang.

Si isteri semakin kusut memikirkan keadaan hidupnya. Harapan menggunung selepas berkahwin, suaminya akan membimbing dirinya tidak menjadi seperti yang dibayangkan walaupun si suami seorang yang alim, tidak tinggal solat, mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan seorang Guru Tahfiz lagi.

Rela menjadi orang gaji

Isteri yang tidak tahu bagaimana untuk menanggung kehidupan mereka lagi mencadangkan kepada suaminya supaya memberi dia upah setiap kali dia menghantar suaminya ke sana sini. Ini termasuklah apabila dia membasuh kain, mengemas rumah, memasak dan menguruskan segala keperluan suaminya. Dia rela menjadi orang gaji asalkan ada duit untuk meneruskan kehidupan bersama.

Duit itu akan digunakan untuk membayar kereta dan keperluan rumah memandangkan dia masih tiada pekerjaan.

Cadangan itu dibalas dengan “hang ambik ayat dari mana ni? Belajar mana kena ambik upah?” dan dihulurkan ayat Al Quran yang menyokong perbuatan dirinya terhadap isterinya selama ini.

Jadi, setiap kali ada perbincangan, ayat demi ayat keluar untuk mematahkan soalan dan hujah isteri sehinggakan si isteri putus harapan untuk berbincang.

Hubungan toksik

Teruslah mereka hidup di dalam perhubungan toksik yang menindas si isteri. Dari sini jelas menunjukkan isteri hanyalah alat untuk memudahkan kehidupan si suami. Si isteri beranggapan, tiada apa lagi yang boleh dilakukannya selain berdoa dan redha dengan apa yang dilaluinya.

Begitulah. Tiada siapa yang mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Di hadapan orang ramai suaminya amat dikagumi dengan ilmu yang tinggi. Tetapi di rumah, isterinya dijadikan hamba abdi.

Sekadar perkongsian buat pedoman. Bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi untuk membuka mata yang benda sebegini memang terjadi. Jika anda di dalam situasi yang sama, apa yang akan anda lakukan?

Sumber: Akhtar Syamir

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa