Siakap Keli
Gambar : Google

Malaysia Tuan Rumah APEC 2020, Jepun Beri Sokongan Padu

Kuala Lumpur : Jepun akan menyokong penuh Malaysia sebagai tuan rumah sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020, menerajui proses APEC ke arah menuju wawasan baharu untuk 21 negara anggota, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka.

Berucap pada sambutan ulang tahun ke-60 Maharaja Naruhito, di kediamannya di sini Khamis, beliau berkata sejak sekian lama Jepun dan Malaysia saling menyokong antara antara satu sama dan akan diteruskan kerana kedua-dua negara mempunyai agenda penting pada tahun ini.

“Obor Olimpik musim panas akan kembali ke Tokyo pada buat kali pertama dalam tempoh 56 tahun. Kami mahu semua pelawat menyaksikan bagaimana Jepun pulih daripada kesan gempa bumi yang melanda pada 2011,” katanya.

Jepun menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo bermula 24 Julai hingga 9 Ogos.

Utusan yang tiba di sini November lalu berkata persahabatan yang kukuh telah terjalin sejak Malaysia merdeka dalam pelbagai bidang termasuk infrastruktur, pendidikan dan pembangunan kapasiti manusia serta keselamatan maritim.

Oka berkata di bawah Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan pada 1982 dan diberi nafas baharu pada 2018, menyaksikan lebih 17,000 rakyat Malaysia mengintai peluang pendidikan tinggi dan latihan di Jepun.

“Di samping itu, lebih 1,400 perniagaan Jepun beroperasi di Malaysia, mewujudkan 340,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya, dalam aspek infrastruktur, Jepun membantu pembinaan terowong bawah tanah terpanjang di Asia Tenggara untuk menyalurkan air mentah dari Pahang ke Selangor di bawah projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang siap bulan lalu.

Keselamatan maritim juga antara bidang kerjasama utama antara kedua-dua negara.

Jepun, katanya, menyokong peranan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sejak penubuhannya pada 2005 dengan menyediakan aset dan membantu pembangunan kapasiti manusia.

Oka berkata Jepun juga telah bekerjasama dengan Malaysia, Singapura dan Indonesia selama lebih 50 tahun, menyumbang kepada keselamatan perairan di Selat Melaka dan kawasan bersempadanan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.