Siakap Keli

Saya Merayu Kepada Tun Mahathir Untuk Kekal Sebagai Perdana Menteri – Anwar

Petaling Jaya : Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beliau merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam perjumpaan dengannya awal hari ini.

Anwar berkata beliau telah dimaklumkan mengenai keputusan Dr Mahathir untuk meletak jawatan dalam perjumpaan itu.

“Saya ada bersama dengan dia, dan telah dimaklumkan mengenainya, tetapi saya tidak boleh (umumkan) sehingga ia dimaklumkan kepada orang ramai. Saya merayu kepadanya bagi pihak Keadilan (PKR), Pakatan (Harapan),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini mengumumkan bahawa Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

”Dr Mahathir bin Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-tujuh hari ini. Surat itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 1.00 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Semasa ditanya hasil perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Anwar berkata ia hanya perjumpaan bagi menyampaikan pendapatnya dan saling bertukar pandangan.

“ … dan bagi mendapatkan nasihat demi kepentingan negara, keamanan, kestabilan, perbincangan secara umum,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)