Siakap Keli
Kredit: Bernama

Pemerintahan Tanpa Memihak Parti Politik Mampu Redakan Krisis Kepimpinan Negara

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti boleh menjadi satu penyelesaian yang baik dalam mengurangkan ‘budaya politiking’ keterlaluan, menurut beberapa penganalisis politik tempatan.

Penganalisis politik dan media sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata pendekatan itu akan membolehkan anggota kabinet fokus pada tugas pembangunan negara, meningkatkan ekonomi, mewujudkan suasana yang lebih harmoni, aman dan damai.

Beliau memberitahu Bernama demikian sebagai reaksi kepada ‘teguran’ Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh mengenai amalan berpolitik secara berlebihan yang berlaku di negara ini.

Bekas perdana menteri ketujuh itu juga berkata, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang, dan jika boleh beliau akan cuba mewujudkan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan,” katanya dalam perutusan khas itu.

Jelas Sara, situasi ini sama seperti yang dipraktikkan dalam tadbir urus di beberapa negara luar dengan barisan kabinetnya melibatkan tokoh-tokoh masyarakat, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak semestinya ahli politik.

“Mungkin barisan ini sebahagiannya terdiri daripada anggota parti politik dan sebahagian daripada individu yang terpilih. Demokrasi memerlukan kewujudan parti politik dan pelantikan anggota Kabinet tanpa dikongkong ideologi parti yang mampu membantu Perdana Menteri melaksanakan dasar kerajaan dengan berkesan,” katanya.

Turut senada, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian yang turut berpendapat kabinet Malaysia perlu dibentuk dengan tidak melihat latar belakang politik, tetapi secara individu.

“Pendekatan ini boleh dijadikan ‘peringatan’ kepada semua yang bakal dipilih kelak dalam pentadbiran negara agar tidak berpolitik secara berlebihan sehingga mengabaikan hala tuju negara terutamanya aspek pembangunan.

Elit politik harus faham, dia diberi mandat, bukan ‘cek kosong’

“Seandainya pembentukan kerajaan perpaduan mengambil tempat, sudah tentu masing-masing yang dipilih perlu hentikan berpolitik secara berlebihan dan memberi tumpuan kepada mentadbir urus negara,” katanya.

Dalam pada itu, profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Zaid Ahmad berkata, beliau turut bersetuju dengan ‘teguran ‘ Dr Mahathir terhadap golongan yang berpolitik berlebihan, dan berpendapat negara sedang berdepan dengan elit politik yang melakukan sesuatu tidak berasaskan mandat diberi rakyat.

“Betullah teguran Tun Mahathir itu. Ahli politik atau elit politik jangan terlalu kuat berpolitik. Mungkin beliau melihat ini adalah pendidikan politik kepada ‘political elite’ supaya faham peranan mereka termasuk jangan terlalu berpolitik sampai lupa tugas dan peranan. Itu tidak baik untuk demokrasi.”

“Dalam demokrasi yang matang, elit politik harus faham bahawa dia ada di situ kerana mendapat mandat daripada rakyat, bukan diberi ‘cek kosong’ dan membuat sesuka hati,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.