Majlis Presiden Pakatan Harapan sebentar tadi dalam satu sidang media memaklumkan pendirian bahawa tidak wajar untuk seorang Perdana Menteri Interim mendahului titah Seri Yang Dipertuan Agong dipercayai dalam hal melibatkan pelantikan Perdana Menteri yang baharu.
Kenyataan itu turut menjelaskan pendirian Majlis Presiden PH bahawa hak dan kuasa melantik seorang Perdana Menteri terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
”Malah pengumuman Perdana Menteri interim (sementara) memanggil sidang Parlimen untuk memilih Perdana Menteri adalah mencabar hak dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
”Umum sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara ini.
”Majlis Presiden menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam hal ini,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Dr Mahathir pada sidang media selepas membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 petang tadi berkata sidang khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini akan memilih Perdana Menteri yang baharu.
Bagaimanapun, sekiranya Dewan Rakyat gagal memilih Perdana Menteri yang baharu, Pilihanraya Umum Tergempar akan diadakan.
Katanya lagi, Yang di-Pertuan Agong juga berpendapat tidak ada mana-mana individu memperoleh majoriti yang ketara untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.
KENYATAAN MEDIAMAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN27 Feb 2020 Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat…
Posted by Anwar Ibrahim on Thursday, 27 February 2020
Sumber : Facebook