Siakap Keli

Covid-19: Kes Terbaru Libatkan Wanita Rakyat Malaysia Baru Pulang Dari Jepun

Wabak koronavirus dikesan selepas organisasi itu dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar Wuhan, di wilayah Hubei, China. Pihak berkuasa China pada 7 Januari lalu mengesahkan Koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

Virus itu tidak sepadan dengan virus lain yang diketahui, dan mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak yang diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan bagaimana kesan jangkitannya terhadap manusia.

Terbaru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini, terdapat dua (2) kes yang disahkan positif Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) telah pulih sepenuhnya, manakala terdapat satu (1) kes baharu yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Terkini, KKM ingin memaklumkan dua (2) kes iaitu kes ke-16 dan kes ke-22 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj daripada wad pada hari ini. Kes ke-16 merupakan seorang wanita warganegara China berumur 67 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Manakala kes ke-22 ialah seorang warganegara Amerika Syarikat yang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh. Justeru, seramai 22 orang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad.

KES BAHARU KE-23

Kes ke-23 ini merupakan seorang wanita berusia 53 tahun warganegara Malaysia. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun baru-baru ini. Apabila pulang dari Jepun pada 23 Februari 2020, pesakit telah mula mempunyai gejala demam pada keesokan harinya dan telah mendapat rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Ujian pengesanan COVID-19 diambil bagi kes ini dan disahkan positif pada 27 Februari 2020.

Sehingga 27 Februari 2020, seramai 1,569 individu telah diambil sampel bagi pengesanan COVID-19. Mereka terdiri daripada Patient-under-investigation (PUI), kontak rapat, Misi Bantuan Kemanusian dan kapal persiaran Dream World. Daripada jumlah ini, sebanyak 23 kes disahkan positif COVID-19, sebanyak 1,523 adalah negatif dan 23 masih menunggu keputusan makmal.

MISI BANTUAN KEMANUSIAN KE-2

Sejumlah 66 individu (46 warganegara Malaysia dan 20 bukan warganegara Malaysia yang merupakan pasangan atau anak mereka) telah dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusian ke-2 pada 26 Februari 2020. Semasa ketibaan di Malaysia, mereka telah menjalani saringan kesihatan dan sampel klinikal telah diambil untuk pengesanan COVID-19 (entry screening). Hasil saringan tersebut, tiada individu yang bergejala dan keputusan makmal bagi kesemua 66 individu tersebut didapati negatif COVID-19. Selanjutnya mereka ditempatkan di pusat pemantauan bagi menjalani pemantauan kesihatan selama 14 hari.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sumber :  Kementerian Kesihatan Malaysia

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.