Siakap Keli
Kredit: Google/Good Therapy

”Widowhood Effect”, Pasangan Cenderung Meninggal Dunia 3 Bulan Selepas Pasangan Mati- Kajian

Ditinggalkan oleh insan tersayang pastinya menyakitkan, apatah lagi jika kita hanya akan ‘bertemu’ semula di dunia seterusnya. Kehilangan seseorang yang disayangi pasti membawa separuh dari jiwa pasangannya yang bakal merindui setiap detik bersama.

Sebelum ini, pasti anda pernah terdengar kisah pasangan yang setia hingga hujung nyawa di mana suami atau isteri meninggal dunia setelah kematian salah seorang daripada mereka.

Situasi yang dipanggil kesan balu atau ‘Widowhood effect’ ini sebenarnya pernah disebut dalam satu kajian berkenaan kematian mengejut oleh sekumpulan saintis dari London. Mari kita baca perkongsian Hello Doktor mengenai penjelasan kesan tersebut.

Kesan balu atau ‘Widowhood effect’

Kesan balu (Widowhood effect) merupakan bukti bahawa kesihatan mental dan sosial memainkan peranan penting terhadap kelanjutan hayat individu. Ia tidak mengenal bangsa, usia atau jantina.

Kajian-kajian berkaitan dengannya telah mendapati bahawa risiko kematian pasangan berada antara 30 hingga 90% pada 3 bulan pertama (waktu kritikal).

Punca kematian tidak mempunyai penerangan yang jelas namun kesannya terhadap individu yang meratapi pemergian insan tersayang bergantung kepada cara kematian pasangan.

Perkara ini perlu diambil berat terutamanya daripada konteks kesihatan berikutan kematian suami atau isteri boleh menyebabkan peningkatan kepada risiko kematian. Ini boleh memberikan impak yang besar kepada tahap kesihatan awam.

Kredit: Good Therapy

Berkemungkinan besar mereka yang meratapi pemergian pasangan tidak menguruskan diri mereka dengan baik. Ini boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan terutamanya jika individu itu sendiri pernah didiagnosis dengan penyakit kronik.

Usaha untuk memahami kesan balu ini dengan lebih dalam bukanlah satu perkara yang mudah. Ia berikutan data yang tidak mencukupi membuatkan kita hanya mampu membuat tanggapan berdasarkan kepada dapatan sedia ada.

Namun, tidak dinafikan bahawa, kesihatan mental dan sosial memainkan peranan penting dalam peningkatan kadar kematian yang dialami oleh balu. Ia terutamanya tinggi pada 3 bulan pertama selepas kematian dan ketika ini, emosi dan hubungan sosial mereka yang meratapi kematian suami berada pada paras yang tidak sihat.

Kajian tentang kematian pasangan

Pada tahun 2008, Universiti Harvard telah menjalankan kajian yang melibatkan 373,189 pasangan berkahwin. Pada penghujung kajian, sebanyak 317,300 pasangan telah mengalami kematian disebabkan oleh pelbagai jenis masalah kesihatan termasuklah kanser dan penyakit kardiovaskular.

Kajian tersebut telah mendapati bahawa kematian suami boleh menyebabkan risiko yang tinggi pada pasangan yang berusia untuk mengalami kematian disebabkan oleh kanser usus dan kanser paru-paru.

Bukan itu sahaja, mereka yang meratapi kematian pasangan turut berisiko tinggi untuk mati disebabkan oleh masalah kardiovaskular termasuklah:

  • Masalah serangan jantung
  • Kegagalan jantung
  • Strok
  • Masalah jantung atau salur darah yang lain
Gambar hiasan. (Kredit: Toronto Star)

Kematian mengejut lebih memberi kesan

Punca kepada berlakunya kematian tersebut bertepatan dengan satu kajian yang pernah dijalankan di London berkaitan dengan kematian yang sudah dijangka.

Sebagai contoh, jika pasangan anda menghidap penyakit Alzheimer atau Parkinson, anda sudah menjangkakan bahawa pasangan anda akan mati dalam tempoh tertentu berdasarkan kepada keterukan simptom klinikal mereka.

Dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa bukan durasi penyakit yang ditanggung oleh si mati menjadi fokus utama. Ia lebih kepada sama ada kematian tersebut boleh dijangka ataupun tidak. Mereka yang mati secara mengejut lebih memberi kesan kepada tahap psikologi dan mental pasangan yang hidup.

Isteri lebih terkesan berbanding suami

Kesan balu mungkin memberi impak kepada isteri lebih kepada suami namun tidak dinafikan bahawa tiada siapa yang terselamat daripada berasa sedih sewaktu kehilangan pasangan hidup.

Jika tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menyebabkan kemurungan, kegelisahan dan peningkatan pada risiko kematian pada individu.

Langkah hindari komplikasi

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menghindarkan komplikasi ini daripada berlaku. Antaranya adalah:

Dapatkan bantuan daripada rakan dan keluarga terdekat. Dinamik hubungan yang seharusnya wujud ketika seseorang itu diuji dengan pemergian pasangan hidup perlu bersifat dua hala. Kadangkala, mereka yang sedang menghadapi musibah tidak rela meminta bantuan daripada pihak lain. Maka dalam situasi tersebut, alternatif pertolongan perlu diutarakan kepada mangsa.

Dapatkan bantuan pakar. Jika anda berasa situasi tersebut sukar untuk dikawal, dapatkan bantuan daripada pakar. Apa yang anda perlu tahu adalah, kesedihan selepas kematian pasangan adalah normal. Ia bukan penyakit mental namun jika ia berterusan untuk jangka masa tertentu ia boleh menyebabkan masalah tersebut.

Oleh sebab itu penting untuk kita mendapatkan bantuan daripada pakar bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku.

Amalkan gaya hidup sihat. Hakikatnya, sukar untuk kita mengawal rutin harian kita seperti sedia kala memandangkan motivasi kita berada pada paras yang rendah. Rakan-rakan dan keluarga memainkan peranan penting bagi memastikan mereka yang sedang bersedih mengambil makanan yang berkhasiat, melakukan senaman dan mendapatkan tidur yang cukup.

Beri bantuan kewangan atau alternatif yang seumpama dengannya. Jika mereka yang masih hidup tidak mempunyai status kewangan yang stabil, sumbangan wang ringgit, bahan makanan dan sebagainya boleh meringankan beban. Kematian pasangan merumitkan status kewangan seseorang terutamanya jika mereka mempunyai tanggungan namun beban dapat diringankan melalui tangan yang suka menghulur.

Sumber: Hello Doktor, Health Harvard

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.