Siakap Keli

Derita Kanser & Hak Rawatan Dinafikan Sebelum Meninggal Dunia, Kisah Budak Gaza Menangis Tak Sempat Jumpa Ayah Kali Terakhir

MIRAL Abu Amsha, 10, seorang kanak-kanak penghidap kanser leukimia dari Gaza, Palestin yang ibu bapanya tidak dibenarkan melawatnya di Hospital Nablus, Tebing Barat, telah meninggal dunia pada minggu lepas.

Pengarah Hospital Universiti An-Najah, Dr. Kamal Hijazi telah menghantar satu kiriman kepada saya (Gideon Levy) melalui aplikasi Whatsapp;

“Sesuatu yang amat meruntuh hati kita, Miral telah meninggal dunia pada Jumaat lepas. Dia telah menunggu hampir dua bulan untuk dipindahkan ke rawatan peringkat atasan. Makassed (di timur Jerussalem) dan dua hospital di Jordan tidak mahu menerimanya. Sesuatu yang amat menyedihkan apabila melihat seorang kanak-kanak cantik ini menderita kerana sengketa politik.

“Kami melawat Miral pada dua bulan lalu di wad kanser pediatrik di An-Najah. Miral yang berumur 10 tahun ini sedang menjalani rawatan kimoterapi agresif dalam keadaan dia terpisah dengan ibu bapanya yang ditahan di penjara Gaza. Israel telah menolak permintaan mereka untuk melawatnya, hanya neneknya sahaja yang dibenarkan menemaninya sehingga bulan terakhir riwayatnya.

Miral Abu Amsha di hospital ketika ditemui Dr. Hijazi pada Disember lalu. Gambar: Alex Levac

“Apabila kami bertemu Miral di bilik hospital, dia sedang duduk di atas katilnya dengan berjaket merah, dengan penuh penderitaan yang sukar dijelaskan dan riak kesakitan terukir di wajahnya. Dia cuba untuk bertahan daripada menangis di depan orang, namun tidak dapat tidak, air matanya tertumpah jua. Neneknya merayu kepada kami untuk lakukan sesuatu agar ibu bapanya boleh datang melawatnya.

“Sukar untuk dibayangkan, apabila mereka berdua hanya mampu mendengar suara anak kecil itu menangis di telefon setiap beberapa jam, namun langsung tidak dapat bersua muka dengannya. Sehinggalah selepas artikel mengenainya muncul, barulah ibunya sahaja dapat menggantikan neneknya, tetapi tidak ayahnya yang masih ditahan di Gaza, tidak berpeluang untuk berada di sisinya,”

Pada Sabtu lalu, Steve Watters, pembaca dari Newcastle, England telah menghantar emel kepada saya mengatakan, dua kanak-kanak Sudan yang menetap di bandar tersebut; Ashraf, 10, dan adiknya, Shafag, 8, yang juga sahabat Miral telah mendengar kisah itu, lalu menulis sepucuk surat untuknya.

Dalam surat tersebut, Shafag melukis gambar sekeping hati bersama bendera Palestin dan menulis dengan pensil;

Surat daripada Shafag.

“Kepada Miral, saya dengar kamu ada di hospital dan saya berharap agar kamu cepat sembuh. Mulai sekarang, tolong fikir untuk cepat sembuh dan kamu akan segera sembuuh nanti. Seluruh dunia bergantung pada kamu. Saya harap kamu akan sembuh. Saya dapat rasa apa yang kamu rasa,”

Manakala abangnya, Ashraf menulis,

Surat daripada Ashraf.

“Kepada Miral, saya faham apa yang kamu rasa tentang hospital. Saya mohon maaf sangat-sangat kepada kamu. Saya tahu bahawa kamu sedang merindui keluarga kamu. Saya memahaminya tapi kamu jangan risau kerana kamu ada keluarga baru yang penuh dengan kanak-kanak comel,”

Surat tersebut dihantar ke Miral pada hari Khamis, sehari sebelum dia meninggal. Miral membalasnya dengan menghantar sekeping gambar dirinya; terukir satu senyuman di wajahnya, bersulam pucat, tiada rambut, mengangkat ibu jari.

Miral sebelum saat pemergiannya. Gambar: Alex Levac

Watters berkata bahawa dia nampak dua kanak-kanak Sudan itu pada keesokan harinya dan mereka bertanya khabar Miral.

Dia seakan gugup, sukar nak beritahu perkara sebenar bahawa sahabat mereka, Miral sudah pun ‘pergi’.

Tambah Watters lagi dalam emelnya, “Saya menjumpai ibu Miral setelah dia dibenarkan melawat anaknya.. Saya rasa kali terakhir nampak ayah Miral adalah pada Disember lepas, sebelum rawatan tersebut bermula. Sangat menyedihkan kerana terpisah agak lama dan kini mereka langsung tidak dapat bertemu lagi buat selama-lamanya. 

“Kenapa Israel begitu syaitan (kejam)? Bagaimana mereka boleh terima keadaan ini? Adakah orang awam Israel tahu kejadian ini berlaku? Tolong beritahu saya (jika) Israel lebih baik daripada ini,” katanya.

Dr. Hijazi berkata, dia akan mendapatkan surat dua kanak-kanak Sudan kepada Miral itu dan letakkan di dalam bingkai lalu digantung di sudut peringatan sebagai peringatan khas buatnya.

Sumber: Gideon Levy

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.