Siakap Keli

Dulu Menteri Luar, Saifuddin Kini Menteri Komunikasi Dan Multimedia

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang hari ini dilantik Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat akan membawa bersama pengalaman berharganya sebagai Menteri Luar sebelum ini.

Anak jati Temerloh itu dilahirkan pada 1961 di Kampung Sungai Ara, Mentakab dan merupakan anak kepada pasangan pendidik, Abdullah Long dan Ramlah Uda.

Saifuddin mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Abu Bakar Mentakab (1968-73), Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) (1974-80), mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya (1984), Diploma Terjemahan daripada Persatuan Penterjemah Malaysia/Dewan Bahasa dan Pustaka (1985) dan mengikuti Kursus Eksekutif di Harvard Business School (1995).

Pada 1988, beliau mendirikan rumah tangga dengan Norlin Shamsul Bahri, Penolong Pengurus Ilmu/Pustakawan Zaid Ibrahim & Co, iaitu syarikat guaman terbesar negara dan seterusnya dikurniakan seorang puteri, Nur Madihah.

Sebelum menceburi arena politik secara aktif, beliau merupakan Presiden Majlis Belia Malaysia, Ahli Panel Tertinggi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Tentang Pekerjaan Belia, Konsultan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik (ESCAP), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Moderat Global (GMM) dan aktivis mahasiswa.

Beliau pernah menceburi dunia perniagaan, bertugas sebagai pentadbir universiti, editor dan guru malah telah menerbitkan enam buah buku dan menjadi kolumnis di Sinar Harian, The Edge Malaysia dan Sin Chew Daily.

Antara sumbangan penting beliau kepada negara adalah penubuhan Gagasan Patriotisme Alaf Baru yang kemudiannya membentangkan satu kertas kerja utama di Kongres Patriotisme Negara (2002) yang melahirkan idea Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Selain itu, Saifuddin juga seorang pemidato yang baik dengan pernah dinobatkan sebagai Johan dan Pemidato Terbaik Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri (1980) selain pengasas Pertandingan Debat Antara Universiti Piala Diraja dan Kelab Debat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pengalamannya juga turut dipahat apabila dilantik menjadi ahli dan terlibat dalam pelbagai organisasi dan platform:

• Majlis Perbandaran Temerloh

• Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC)

• Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II)

• Majlis Perundingan Belia Negara,

• Yayasan Salam

• Penasihat Pengguna Negara

• Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

• Majlis Perundingan Akta Pendidikan

• Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

• Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN)

• Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)

Pengalaman di peringkat antarabangsa sebagai Menteri Luar juga tidak kurang hebat apabila pernah diamanahkan dan dilantik sebagai:

• Ahli Panel Tertinggi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pekerjaan Bagi Belia

• Timbalan Bendahari, Majlis Antarabangsa Mengenai Dasar Belia Negara

• Wakil NGO (Badan Bukan Kerajaan)  Asia Pasifik berucap di Persidangan Pertama Menteri-Menteri Belia Sedunia, anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lisbon, Portugal

• Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia Pasifik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ESCAP)

• Setiausaha, Tabung Barisan Bertindak Kosovo

Karier politiknya juga menyaksikan pelbagai pencapaian. Beliau dilantik Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Temerloh atas tiket kerusi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan sebelum beralih alih kepada PKR dan memenangi kerusi Indera Mahkota pada PRU14  selain dilantik Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH).

Di peringkat Kabinet, Saifuddin pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi (2008 – 2009) ; Timbalan Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi II (2009 – 2013) dan Menteri Luar (2018 -2020).

Februari tahun ini, Saifuddin dan 10 lagi anggota PKR mengisytiharkan keluar parti dan menghulurkan sokongan kepada Bersatu yang menerajui gabungan baharu parti pemerintah.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right