Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Penyu Agar Ditemui Mati Di Persisiran Pantai Teluk Kemang

SEREMBAN, 11 Mac — Seekor penyu agar seberat 100 kilogram ditemui mati di persisiran pantai Teluk Kemang, Port Dickson dekat sini, semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, penyu jantan yang berusia lebih 40 tahun itu ditemui orang awam kira-kira pukul 5.00 petang.

“Penyu ini ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada kakitangan kita. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kesan cedera pada penyu yang ditemui ini.

“Penyu ini dipercayai sudah mati di tengah laut sejak beberapa hari lepas dan dihanyutkan ombak ke persisiran pantai,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Halimi menasihati mana-mana pihak yang menemui penyu mati atau cedera agar  menghubungi Jabatan Perikanan di talian 06-6472050 atau  06-6621089 atau mesej melalui Facebook Pejabat Perikanan Negeri Sembilan.

“Reptilia marin terancam ini wujud dalam populasi yang sedikit di Negeri Sembilan. Justeru orang ramai diingatkan supaya prihatin dengan tidak mengganggu penyu terutamanya jika menemuinya sedang naik ke pantai untuk bertelur dan jangan sesekali mengambil telurnya.

“Sabit kesalahan atas perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story