Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pantai Rantau Abang Kembali Jadi Tumpuan Penyu Belimbing

Penyu Belimbing
Kredit: Bernama

DUNGUN, 10 Okt (Bernama) -- Pantai Rantau Abang di sini kembali menjadi tumpuan apabila seekor penyu belimbing sekali lagi mendarat untuk bertelur di pesisir pantai itu pada awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata pendaratan penyu spesies terbesar itu adalah yang kelima di pantai Terengganu sejak bulan lepas.

Beliau berkata penyu belimbing berkenaan mendarat di pantai berkenaan pada 3 pagi sebelum bertelur pada 4.30 pagi serta kembali ke laut kira-kira 5.45 pagi ketika air laut pasang.

Katanya, sebanyak 48 biji telur berjaya dikumpulkan sebelum dipindahkan ke tapak penetasan terkawal di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang pada 7 pagi bagi tujuan perlindungan dan pemantauan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 313 biji telur penyu belimbing telah direkodkan daripada lima kejadian pendaratan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pendaratan pertama direkodkan pada 1 Sept lepas di Pantai Pasir Putih, Marang dengan 44 biji telur diikuti pendaratan kedua pada 13 Sept di Pantai Rantau Abang yang menghasilkan 81 biji telur.

Sementara itu, pendaratan ketiga direkodkan pada 22 Sept di Pantai Kuala Abang dengan 70 biji telur manakala pendaratan keempat berlaku di Pantai Jambu Bongkok dengan 70 biji telur pada 1 Okt.

Dalam pada itu, Adnan berkata hasil pemeriksaan mendapati kesan laluan penyu berukuran kira-kira 2.1 meter lebar dan 15 meter panjang manakala kedalaman sarang asal direkodkan sekitar 110 sentimeter.

Selain itu, katanya, pemantauan dan rondaan bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang dilaksanakan bagi memantau kawasan pendaratan serta memastikan perlindungan sarang dan telur penyu.

“Kerjasama ini menyokong usaha Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam memperkukuh pemantauan di lapangan dan melaksanakan langkah pemuliharaan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata pengurusan telur secara terkawal, pemantauan sarang dan perlindungan kawasan pendaratan antara langkah penting dalam usaha pemuliharaan penyu khususnya bagi spesies yang menghadapi ancaman terhadap kelangsungan populasinya.

Pada masa yang sama, katanya, kerjasama masyarakat setempat juga penting dalam usaha pemuliharaan penyu.

“DOF mengingatkan orang ramai supaya tidak mengganggu penyu yang mendarat, mengambil telur atau merosakkan sarang. Sebarang penemuan penyu atau sarang hendaklah dilaporkan segera kepada DOF untuk tindakan lanjut,” katanya.

Perlindungan penyu dan telurnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Perikanan 1985 [Akta 317] serta Enakmen Penyu Terengganu yang berkuat kuasa.

Intipati
  • Seekor penyu belimbing mendarat di Rantau Abang dan bertelur 48 biji awal pagi tadi.
  • Lima pendaratan di pantai Terengganu sejak bulan lepas merekodkan keseluruhan 313 biji telur.
  • Telur dipindahkan ke TCIC Rantau Abang untuk perlindungan, penetasan terkawal dan pemantauan berterusan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan