Seorang ibu tergamak mencampak anaknya sendiri yang menghidapi autism daripada balkoni di tingkat empat rumahnya kerana mahu dia masuk ke ‘syurga’, kata penyiasat.
Wanita yang berumur 33 tahun itu telah didakwa melakukan cubaan membunuh second-degree selepas dilaporkan mengheret anaknya daripada katil dan mencampakkannya ke luar balkoni di St Paul, Minnesota pada Isnin.
Mangsa yang berumur 11 tahun itu dilaporkan mengalami patah tulang dan cedera di bahagian kepala yang memerlukan beberapa pembedahan. Walau bagaimanapun, mangsa dijangka akan pulih.
Pihak polis bertindak balas selepas menerima satu panggilan daripada saksi yang pada awalnya sangkakan mangsa telah melompat daripada balkoni berkenaan. Sejurus selepas itu, pegawai polis telah menemui mangsa dalam keadaan patah di bahagian kaki dan darah yang berlumuran keluar daripada mulutnya.
Ketika pasukan paramedik tiba, mereka dapat merasakan bahawa rahang kanak-kanak malang itu telah tercabut daripada kedudukan asalnya dan retak, lapor CBS.
Polis kemudiannya menemui ibu mangsa tersebut dalam keadaan berbogel di dalam tab mandi apartment empat tingkat itu selepas seorang lagi anaknya yang berusia enam tahun membuka pintu semasa polis mengetuk rumahnya.
Mereka bertanya kepada wanita tersebut tentang apa yang terjadi kepada mangsa, namun dia tidak menjawab. Walau bagaimanapun, pegawai polis perasan perangainya mula berubah ketika mereka membawanya ke balai polis.
Pada kali pertama pegawai polis melakukan soal siasat terhadapnya, dia meracau, mengoyakkan kertas, menjerit kepada pegawai polis dan membuka pakaiannya. Dia didakwa mengakui menarik anaknya dari katil dan mencampaknya ke luar balkoni.
“Saya campak budak itu keluar balkoni. Dia benar-benar jatuh. Serius,,” katanya kepada pegawai polis.
Pada soal siasat kali kedua pula, dia menyatakan kepada penyiasat bahawa tindakannya sebelum ini hanyalah lakonan sahaja. Katanya, dia telah hilang kawalan selepas bertengkar bersama pasangannya.
Dia dilaporkan berkata bahawa sukar untuk membesarkan anaknya itu seorang diri dan mengaku menyasarkan mangsa kerana mangsa seorang OKU. Katanya, dia berharap yang anaknya itu dapat tinggal di syurga. Wanita tersebut dilaporkan telah mengakui perbuatannya itu.
Dia bakal berhadapan dengan hukuman penjara 20 tahun atas tuduhan cubaan membunuh jika didapati bersalah.
Sumber: Metro