Siakap Keli
Gambar: Bernama

Covid-19: Sabah Mungkin Lanjutkan Cuti Sekolah

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah sedang mempertimbangkan kemungkinan melanjutkan cuti sekolah sekarang ini dan mendapatkan kerjasama sektor swasta supaya membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah untuk membendung penularan COVID-19.

Dalam rayuannya kepada rakyat untuk meminimumkan pergerakan mereka, termasuk mengelakkan daripada melakukan perjalanan yang tidak perlu , Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata lebih banyak langkah akan dipertimbangkan.

”Saya menggesa orang ramai supaya bertenang dan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung penularan COVID-19.  Kita boleh mengatasinya jika kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Semenjak kes positif pertama dikesan minggu lepas membabitkan seorang lelaki berusia 58 tahun dari Tawau yang merupakan antara mereka yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur antara 27 Feb hingga 1 Mac, Jabatan Kesihatan Sabah mengenal pasti 49 kes di negeri ini setakat hari ini.

Pegawai Kesihatan di negeri ini mengesan lebih banyak kes daripada kalangan mereka yang menghadiri majlis di masjid berkenaan dan langkah-langkah sedang diambil untuk mengesan mereka yang menghadiri majlis sama dan juga individu yang bersama mereka 10 hari lepas sejak mereka kembali.

”Jabatan Kesihatan dan yang lain telah bertungkus lumus untuk mengesan dan mengenal pasti kawasan yang mungkin telah tercemar.

Mereka juga mengambil tindakan segera termasuk menutup masjid dan surau buat sementara waktu di kawasan yang didapati ada kes COVID-19,” kata Mohd Shafie, menambah sejak 30 Jan lepas Kerajaan Negeri Sabah tidak membenarkan kemasukan pelancong dari negara yang terjejas oleh virus itu.

Daripada 49 kes yang dilaporkan setakat ini, 14 di Lahad Datu; diikuti Kota Kinabalu (sembilan); Tawau (lapan); Kinabatangan (lima); Tuaran (tiga); Kunak, Putatan dan Sandakan (masing-masing dua); Beaufort, Kota Belud, Papar dan Sipitang (masing-masing seorang).

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.