Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan: Google

Covid-19: Aktiviti Masjid, Surau Di Selangor Ditangguhkan Hingga 17 April

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan agar solat Jumaat di seluruh negeri ini ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta sehingga 17 April bagi mengekang penularan penyakit COVID-19.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini berkata, solat berjemaah, aktiviti ceramah dan kuliah agama di semua masjid dan surau di Selangor turut dititahkan supaya ditangguhkan hingga ke tarikh yang sama.

Beliau berkata, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya solat Jumaat yang ditangguhkan itu wajib diganti dengan solat zohor di rumah (atau lokasi lain) manakala laungan azan masih dilaksana seperti biasa pada setiap waktu solat.

Namun, sekiranya wabak COVID-19 dapat dibendung dan diatasi lebih awal daripada tarikh berkenaan, satu arahan baharu mengenainya akan dikeluarkan.

”Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan terhadap kesejahteraan 6.5 juta penduduk di Selangor susulan penularan COVID-19. Justeru, langkah-langkah itu berkuat kuasa mulai hari ini bagi mengurangkan impaknya,” kata Mohamad Munir.

”Ketetapan ini juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) malam tadi,” katanya, merujuk kepada tindakan yang diambil kerajaan berkuat kuasa 18-31 Mac bertujuan mencegah penularan baharu penyakit itu.

Langkah itu dilakukan hasil mesyuarat khas yang diadakan atas titah Sultan Selangor melibatkan Jabatan Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 Selangor bagi mendapatkan pandangan berkaitan ancaman wabak itu di negeri ini.

Pada masa sama, baginda juga menasihatkan rakyat Selangor supaya tidak berkumpul di tempat awam terutama mereka yang mempunyai simptom COVID-19 bagi mengelakkan penularan virus itu kepada lebih ramai orang.

”Baginda meminta umat Islam di negeri ini mendoakan kesejahteraan masing-masing, keluarga dan rakyat di Selangor setiap kali selepas solat serta digalakkan supaya membaca Qunut Nazilah… bagi memohon pelindungan Allah supaya wabak berkenaan segera berakhir,” kata Mohamad Munir.

Sultan Sharafuddin, katanya, juga mahu rakyat Selangor mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan itu bagi mencegah penularan baharu COVID-19 dan seterusnya memulihkan keadaan dengan segera.

Beliau turut menyampaikan hasrat dan harapan Sultan Selangor supaya rakyat terus bersabar serta memberi kerjasama sepenuhnya terhadap usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan masyarakat.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.