Siakap Keli
Kredit: Duan Jeng Jeng

(Video) “Kita Bukan Takut Mati, Tapi Takut Jadi Penyebab Orang Lain Sakit”, Peserta Tabligh Rayu Semua Taat Perintah Kawalan

Salah seorang jemaah tabligh yang terlibat kuarantin, Duan Jeng Jeng berkongsi beberapa nasihat buat rakan-rakan jemaah dan orang ramai mengenai tatacara menghadapi situasi semasa.

Dalam video dimuatnaik beliau, Duan berpesan agar tidak keluar rumah dan tidak mempercayai orang lain kerana kadangkala pesakit sendiri tidak sedar menjadi pembawa virus. Hal ini berlaku kerana ada dalam kalangan pesakit COVID-19 yang tidak menunjukkan sebarang gejala.

Berikut merupakan ringkasan dari pesanan beliau.

“Kita bukan takut mati, kita bukan takut penyakit datang kat kita. Kita takut kita penyebab orang lain dapat penyakit.

1. Jangan keluar rumah jika tiada perkara penting.

Bersabar dalam masa 14 hari ni, ahli keluarga kita semua duduk rumah. Jika ada ahli keluarga kita positif, KKM akan kuarantin keluarga kita dan tak babitkan jiran dengan lebih mudah.

Tapi jika kita bergerak keluar rumah, ini akan menyukarkan pihak KKM membuat tindakan untuk kenalpasti perjalanan tuan puan dua minggu sebelum.

2. Taatlah pada perintah supaya perkara ini dapat diselesaikan dalam masa 14 hari.

Jika tidak taat, mungkin kuarantin kita akan disambung lagi dan menjadi berpanjangan.

“Jika ia tidak selesai, mungkin ditambah 14 hari lagi dan perkara ini mungkin berlarutan jadi dua tiga bulan.”

Bersabar dan duduk di rumah. kurangkan aktiviti luar.

3. Jangan percaya pada sesiapapun di luar sebab dia pun tak tahu dia positif atau negatif. Jadi lebih baik duduk di rumah.

4. Jangan bersilaturrahim

Tak sesuai untuk bersilaturrahim kerana kita pun tak tahu jika kita pembawa atau mereka yang kita jumpa jika dia pembawa.

5. Buatlah amalan di rumah sahaja bersama isteri dan anak-anak kita.

“Benda ni halus. Jika kita pergi berperang, kita nampak musuh bawa senjata dan takut keluar rumah. Tapi virus ini kita tak nampak, siapa kita jumpa pun tak tahu ada virus atau tidak.”

Peralatan awam pun akan sebabkan kita terkena.

6. Jika hari ini kita cek kita negatif, ini tidak menjamin kita tetap negatif.

“Mungkin hari ini kita negatif, esok lusa kita bertemu pesakit yang kita tak tahu, kita jadi positif dan sebabkan orang lain turut positif.”

Jadi untuk dua minggu ini, duduklah di rumah, ujar beliau yang dikuarantin di pusat kuarantin khas bersama ahli jemaah yang lain.

“Kami bersetuju mereka kuarantin kami kerana kami nampak banyak kebaikan dengan tindakan ini, katanya mewakili jemaah tabligh yang dikuarantin bersama.

“Mungkin kami bertebaran di luar sana sebab kami pun tak tahu sama ada kami negatif atau positif. Kerana ia ambil masa dua minggu baru nampak kesannya,” kata beliau.

“Jika kita mati (kerana wabak) dalam keadaan taat, Allah akan beri pahala mati syahid. Diri kita tidak menyusahkan orang lain dan tidak menjadi penyebab orang lain dapat wabak ini,” pesan beliau.

Sumber: Duan Jeng Jeng

Amira

Love yourself.