Siakap Keli
Gambar: Bernama

Jujur Beri Maklumat Ketika Saringan COVID-19, Tegas KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Orang ramai khususnya pesakit digesa bersikap jujur dalam memberi maklumat dan sejarah hubungan rapat mereka semasa proses saringan dan pengesanan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu supaya mereka tidak menyembunyikan maklumat sehingga menimbulkan risiko kepada nyawa dan fasiliti kesihatan.

Adalah satu jenayah sekiranya orang awam atau pesakit tidak mendedahkan atau menyembunyikan maklumat.

“Kami mengalami beberapa insiden pada minggu ini di mana pesakit menyembunyikan hubungan atau gejala, sejarah perjalanan dan maklumat hubungan rapat. Contohnya, yang dikaitkan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling juga tidak didedahkan.

“Hanya selepas prosedur dan rawatan klinikal selesai, maklumat kritikal itu didedahkan. Pada masa itu, keselamatan petugas kesihatan dan fasiliti kami telah terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Sehingga 12 tengah hari semalam, 110 kes baharu positif COVID-19 direkodkan, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif terkini wabak itu 900 di negara ini.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right