Siakap Keli

(Video) “Saya Dah Lihat Banyak Kematian, Tapi Apa Yang Berlaku Kepada Pesakit COVID-19 Jauh Lebih Menyedihkan”- Doktor

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setakat ini, seramai 3 kematian dicatatkan daripada lebih 1,000 pesakit COVID-19, dengan 26 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Pemergian kedua-dua pesakit itu meruntun hati banyak pihak, termasuk para petugas kesihatan yang seringkali menyaksikan detik pemergian pesakit.

Walaubagaimanapun, pemergian pesakit COVID-19 ini meluluhkan hati petugas kesihatan dari sisi yang lain.

Disebabkan pengurusan jenazah mereka melibatkan prosedur yang cukup ketat, ahli keluarga tidak dapat bertemu dan melihat jenazah secara dekat buat kali terakhir.

Berikut merupakan luahan seorang doktor, Dr Ahmad Luqman terhadap detik pengebumian pesakit COVID-19 di Johor Bahru tempoh hari.

Sayunya hati bila tonton video pengebumian jenazah pesakit COVID-19.

Serius! Rasa nak menangis lihat apa yang berlaku kat Johor Bahru 17 Mac lepas.

Saya dah lihat banyak kematian yang berlaku di hospital.

Saya dah banyak kali saksikan respon keluarga saat pesakit nazak. Mereka berpeluang menyantuni pesakit sebelum berpisah buat selamanya.

Saya dah banyak kali saksikan ahli keluarga yang menitiskan air mata kesedihan, memeluk jenazah, menatap serta mencium wajahnya buat kali terakhir.

Yang ada kesempatan untuk bacakan surah Yasin dan ayat Al Quran lain di sisi si mati.

Ia pengalaman yang cukup menghibakan.

Namun apa yang berlaku kepada pesakit yang dijangkiti virus maut COVID-19, sungguh dasyat dan jauh lebih menyedihkan!

Sejak disahkan jangkitan, keluarga kesayangan langsung tak dapat peluang nak berziarah secara dekat.

Bila tiba waktu dipanggil pergi bertemu Tuhan, anak dan isteri tak dapat nak melihat dan memeluk jasadnya untuk kali yang terakhir.

Jika mangsanya orang tua, anak-anaknya tak dapat peluang berbakti buat kali terakhir.

Tiada istilah anak-anak mandikan jenazah ayah atau ibu.

Hanya tayammum diratakan ke atas balutan plastik.

Jenazah perlu dimasukkan ke dalam body bag dan dibawa sesegera mungkin ke tapak pengebumian.

Tiada juga istilah sambut jenazah ayah dalam liang lahad.

Jenazahnya hanya boleh diuruskan oleh beberapa orang petugas sahaja.

Bahkan semuanya wajib memakai pakaian lengkap peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Tak seorang pun yang dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan hinggalah selesai proses pengebumian.

Terpaksa kawan terpaksa!

Nak tak nak mesti lakukan sedemikian rupa demi mengelakkan penularan virus pada ahli keluarga yang masih hidup.

Kita pun tak nak petugas hospital yang bantu uruskan jenazah terkena jangkitan sama.

Kawan-kawan,

Kita berdoa sangat proses yang menghayat hati ni mudah-mudahan tak akan berlaku lagi pada orang lain.

Tak usahlah kita sengaja masukkan diri dalam kalangan kumpulan yang degil dan pandang rendah serangan virus maut ni.

Tolonglah sama-sama ambil peduli dan teruskan kempen #StayAtHome dengan baik. Jangan tunggu nak patuh hanya bila:

  • Ahli keluarga sendiri yang dijangkiti atau terlantar kritikal di ICU
  • Rakan terdekat yang masuk ke dalam senarai kontak kes
  • Atau diri sendiri yang dikuarantin

Masa tu, takut-takut mungkin kita dah terlambat.

Tolong bantu saya #sebarkan mesej ini. Kita sama-sama hentikan penularan virus maut ini ya.

Dr Ahmad Luqman Bukhari,
Doakan yang baik-baik untuk si mati.

Sumber: Ahmad Luqman Bukhari

Amira

Love yourself.