Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

COVID-19: Bekas Pesakit Berisiko Dijangkiti Semula Jika Ingkar Nasihat KKM

PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) — Bekas pesakit COVID-19 yang sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari wad boleh dijangkiti semula virus itu sekiranya melanggar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun peratusan jangkitan amat sedikit, namun bekas pesakit disaran menjaga kebersihan bagi mengelak dijangkiti semula wabak itu.

“Kemungkinan pesakit dijangkiti semula mungkin ada tetapi sebelum mereka discaj dari wad, kita menasihatkan langkah pencegahan dengan menjaga kebersihan untuk elak daripada dijangkiti semula.

“Kalau mereka yang discaj tidak jaga kebersihan dan tidak ambil langkah pencegahan, mereka boleh dijangkiti semula tetapi peratusan adalah tipis,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham, yang menasihati bekas pesakit agar mengamalkan gaya hidup sihat, turut berkata mereka sentiasa perlu mengutamakan langkah pencegahan seperti dimaklumkan KKM.

Beliau berkata sehingga kini tiada kes jangkitan semula ketika gelombang pertama dan kedua penularan wabak itu di negara ini.

Ditanya punca jangkitan COVID-19 di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Daripada siasatan awal, kita mendapati mungkin ada empat kluster yang berkaitan dengan jemaah tabligh.

“Ada empat kes indeks yang hadir ke perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, mungkin mereka kembali ke kampung tersebut menghadiri majlis perkahwinan dan juga solat berjemaah sehingga menjangkiti penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Mengenai jumlah terkini peserta tabligh yang telah disaring, beliau berkata KKM menyaring 13,762 individu dengan sejumlah 12,317 sampel diambil.

Hasil saringan mendapati kes positif ialah 1,137 manakala kes negatif sebanyak 6,623 dan “yang masih belum diketahui atau “pending” ialah 4,557, kata Dr Noor Hisham.

—  BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa