Siakap Keli

Dilahirkan Ketika Tempoh ‘Lockdown’, Bayi Kembar Di India Dinamakan Corona Dan Covid

Sepasang bayi kembar yang baru dilahirkan di India ketika tempoh ‘lockdown’ telah dinamakan dengan nama Corona dan Covid oleh kedua ibu bapanya, lapor media tempatan.

Menurut laporan berita NDTV India, pasangan kembar itu telah dilahirkan di Dr BR Ambedkar Memorial Hospital pada 27 Mac lalu.

Kedua ibu bapa pasangan kembar yang berasal dari Chhattisgarh menyatakan bahawa, nama Corona dan Covid itu dipilih untuk melambangkan kejayaan di atas kesulitan.

Verma, ibu kepada kembar tersebut menyatakan: “Anak-anak saya berjaya dilahirkan selepas menghadapi beberapa kesulitan. Oleh itu, saya serta suami mahu menjadikan hari tersebut sebagai suatu kenangan yang tak akan dilupakan.

Virus itu sememangnya berbahaya dan mengancam nyawa tetapi wabak tersebut telah berjaya membuatkan ramai orang sedar akan soal kuman, kebersihan serta berjaya menanam tabiat-tabiat baik yang lain. Disebabkan itulah, muncul idea untuk menamakan mereka dengan nama ini.

Verma berkata bahawa kakitangan hospital yang mula-mula memanggil anak lelakinya sebagai Corona manakala perempuan pula Covid dan sejak dari itulah mereka memutuskan untuk menamakan anak-anak mereka sempena dengan pandemik ini.

Gambar: Daily Mail

Pasangan suami isteri itu sudah pun mempunyai anak perempuan yang berusia dua tahun dan mereka mengakui bahawa sukar untuk mereka bergerak ke hospital semasa hendak melahirkan bayi mereka itu ketika perintah berkurung dilaksanakan.

“Saya tiba-tiba berasa amat sakit ketika waktu untuk bersalin itu sampai. Tanpa membuang masa, suami saya terus menghubungi ambulans untuk membawa saya ke hospital.

“Memandangkan pihak berkuasa melarang sebarang kenderaan menggunakan jalan raya kerana perintah berkurung, kami telah ditahan beberapa kali oleh pihak polis di beberapa tempat, namun mereka terus melepaskan kami setelah melihat keadaan saya.”

Kembar tersebut dilaporkan berjaya dilahirkan secara caesar dengan beberapa komplikasi, pun begitu kedua-dua bayi dan ibu tersebut berjaya pulih dan telah pun discaj daripada hospital itu.

Walau bagaimanapun, ibu bapa pasangan kembar itu menyatakan bahawa mereka mungkin akan menukar kembali nama anak mereka itu.

Negara India kini sedang berada dalam perintah berkurung selama 21 hari dalam usaha kerajaannya untuk menangani peningkatan kes Covid-19.

Angka terkini mendedahkan bahawa lebih daripada 2,300 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala jumlah kematian yang dicatatkan di India adalah sebanyak 56 orang setakat ini.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa