Siakap Keli

KKM Tegaskan Tiada Anggotanya Dijangkiti Semasa Rawat Pesakit Di Wad Covid-19

Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa sehingga kini, tidak ada anggotanya yang dijangkiti COVID-19 ketika berkhidmat di wad atau unit rawatan rapi (ICU) hospital rawatan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana anggota kesihatan KKM mengamalkan langkah pencegahan dan memakai alat pelindung diri (PPE) semasa menjalankan tugas.

“Apabila kita lihat barisan hadapan KKM yang dijangkiti, 181 orang dan dua kematian, yang mana kematian yang direkodkan ini mempunyai sejarah perjalanan ke Turki serta Indonesia dan tidak berkaitan dengan jangkitan semasa bekerja.

“Daripada jumlah 181 itu, 67 peratus iaitu 122 dijangkiti di luar kawasan hospital, contohnya menghadiri majlis perkahwinan dan sebagainya kemudian mereka datang ke hospital sehingga ada yang menjangkiti rakan-rakan mereka,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian bagi menjawab dakwaan seorang doktor hospital swasta bahawa KKM gagal melindungi barisan hadapan perubatan sehingga menyaksikan kira-kira 30 kakitangan perubatan dilaporkan dijangkiti virus itu ketika bertugas.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata jangkitan melibatkan petugas kesihatan bermula di hospital swasta dan susulan itu, KKM mengadakan dua mesyuarat bersama hospital serta klinik swasta pada 1 dan 12 Mac untuk meningkatkan langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan.

Bagaimanapun, hasil siasatan menunjukkan bahawa sejumlah 36 petugas kesihatan mendapat jangkitan COVID-19 daripada pesakit yang tidak memaklumkan perkara sebenar mengenai hubungan rapat mereka dengan individu yang berisiko tinggi.

Selain itu, sebagai langkah pencegahan, KKM telah menyaring lebih 2,000 petugas kesihatan termasuk di fasiliti swasta secara berkala.

“Jadi, kita tak tunggu sama ada mereka dapat gejala dulu baru kita nak saring sebaliknya kita saring semua secara berjadual dan lebih 2,000 kita dah saring,” katanya.

Sumber: Bernama

 

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)