Siakap Keli
Gambar: Bernama

Penyelidik Tempatan Cadang PKP Ditarik Balik Secara Berperingkat

Pasukan penyelidik tempatan mencadangkan agar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19 di negara ini, ditarik balik secara berperingkat.

Kumpulan penyelidik berkenaan menyedari penarikan balik arahan itu penting bagi membolehkan kegiatan ekonomi di negara ini bersambung semula selepas beberapa perniagaan tiba-tiba terhenti susulan arahan PKP yang berkuat kuasa 18 Mac lepas.

Penyelidikan bertajuk ‘COVID-19 epidemic in Malaysia: Impact of lockdown on infection dynamics’, diketuai Prof Dr Naomie Salim dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau disertai beberapa lagi ahli akademik dari fakulti sama iaitu Dr Chan Weng Howe, Prof Dr Shuhaimi Mansor, Dr Nor Erne Nazira Bazin, Prof Madya Dr Ahmad Athif Mohd Faudzi, Prof Madya Dr Anazida Zainal, Dr Sharin Hazlin Huspi, Eric Khoo Jiun Hooi, Shaekh Mohammad Shithil dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dalam Epidemiologi Dr Safiya Amaran dari Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin.

Ketika ditemui Bernama, Naomie berkata cadangan yang dikemukakan oleh kumpulan penyelidik itu boleh dilaksanakan berdasarkan kepada tahap kawalan wabak di setiap lokasi.

“Ia boleh dilaksanakan mengikut zon, berdasarkan indeks kesihatan COVID-19, contohnya, zon merah (kekal dengan pelaksanaan PKP), zon oren (meneruskan PKP tapi meningkatkan tahap kewaspadaan) dan zon kuning (sebahagian PKP dengan pelaksanaan amalan jarakan sosial dan penjagaan kebersihan),” katanya pada Rabu.

Zon merah adalah kawasan yang mencatatkan lebih daripada 41 kes positif COVID-19, zon oren (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau pula kawasan yang bebas kes COVID-19.

Bagaimanapun, pasukan penyelidik berkenaan menegaskan kerajaan tidak boleh menarik balik arahan PKP secara terus kerana masih terdapat kes baharu dilaporkan, kerana ini mungkin boleh mencetuskan gelombang baharu.

Menurut penyelidikan itu, fasa pertama pelaksanaan PKP menunjukkan sedikit keberkesanan namun masih kurang menimbulkan kesedaran untuk mengekang penularan wabak COVID-19 kerana rakyat masih tidak faham dan tidak bersedia.

Pelaksanaan fasa kedua PKP pula menyaksikan langkah yang lebih diperketatkan menerusi kawalan pergerakan, tapi penguatkuasaan secara beransur ini boleh menangguhkan pemecahan rantaian jangkitan ini.

Ditanya keperluan kerajaan untuk melanjutkan tempoh PKP untuk kali ketiga, Naomie dan pasukannya berpendapat bahawa semua langkah berjaga-jaga harus diambil untuk menyekat hubungan orang yang terkena jangkitan serta kenalan, terutama mereka yang berada di bawah pengawasan di rumah dan kuarantin sendiri.

Sementara itu, penyelidikannya meramalkan bahawa puncak penularan wabak COVID-19 di Malaysia adalah pada 19 April dan kemuncak yang terkini dijangka berakhir hujung Mei, bergantung kepada jenis model ramalan.

Menurutnya, pasukan penyelidikan itu menggunakan beberapa model, termasuk lengkung yang sesuai dengan model fungsi kebarangkalian ketumpatan dan kesan kecondongan, model SIR dan model Sistem Dinamik.

“Berbanding dengan data jumlah jangkitan sebenar sejak 18 Mac hingga 6 April, lengkung yang sesuai dengan model fungsi kebarangkalian ketumpatan dan model kesan kecondongan adalah paling tepat dengan kadar 99.99 peratus ketepatan dengan anggaran 5,637 kes positif.

“Bagaimanapun, setiap model mempunyai kekuatan masing-masing…model SIR memberi kami gambaran berdasarkan data terkini, bagaimana wabak itu berkembang dan daripada model itu, menunjukkan impak PKP dalam mewujudkan amalan jarakan sosial, dan ini membantu mendatarkan lengkung,” kata Naomie.

Beliau juga berkata model lebih terperinci adalah Model Sistem Dinamik yang boleh menunjukkan kesan pelaksanaan PKP fasa kedua walaupun masih tidak secara optimum.

Mengenai cara bagaimana mereka mengumpul data, Naomie berkata pasukannya mendapatkan data daripada pelbagai laman web seperti Worldometer, 2019 Novel Coronavirus Visual Dashboard daripada Johns Hopkins University Centre for Systems Science and Engineering, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga laman web berita tempatan.

Pada masa sama, pasukan penyelidik itu menyatakan bahawa rakyat Malaysia mampu diperkasakan jika dibekalkan dengan maklumat yang cukup dan tepat pada masanya, kerana mereka perlu faham mengenai kepentingan pelaksanaan PKP, serta kenapa ia dilaksanakan, sekali gus meningkatkan tahap kepatuhan kepada arahan PKP itu.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right