Siakap Keli

COVID-19 : Malaysia Boleh Contohi China – Duta Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 April  — Malaysia boleh mencontohi pengalaman negara China dalam mengawal penularan COVID-19, kata Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin.

Nushirwan berkata langkah mengawal pergerakan yang diambil seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia ketika ini sangat berkesan berikutan COVID-19 tidak mempunyai vaksin buat masa ini.

“Kita hanya ada langkah mengawal pergerakan. Jadi stay at home. Inilah langkah paling berkesan,” katanya ketika dihubungi menerusi panggilan video ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Berkongsi pengalamannya yang kini masih berada di China, Nushirwan berkata beliau dan pegawai kedutaan yang lain hanya berada di pejabat kedutaan dan kediaman mereka yang berada di kompleks yang sama sejak tiga bulan lepas.

“Selama tiga bulan lepas, pergerakan kami amat terkawal. Hanya pejabat dan kediaman. Tapi kami faham, inilah langkah yang harus diambil. Fitrah manusia akan menyebabkan kita sentiasa menyesuaikan diri (dengan keadaan semasa),” katanya.

Nushirwan berkata, meskipun China kini sudah memberi kelonggaran pergerakan terhadap rakyatnya selepas pandemik COVID-19 di negara itu mula menurun, namun ia bukanlah kebebasan mutlak.

“Memang betul, ada kelonggaran pergerakan di Wuhan, provinsi Hubei.  Tapi ia bukanlah kebebasan mutlak. Sebab masih terdapat langkah keselamatan. Contohnya, masih terdapat pengawalan pergerakan dengan tempat umum tidak dibenarkan terlalu ramai orang dan pihak berkuasa masih memantau keadaan di Wuhan.

“Bagi kerajaan China, walaupun jumlah kes telah menurun, tetapi mereka tetap bimbang mengenai kes yang diimport dan kes yang mereka (individu) ada virus itu tetapi tidak menunjukkan simptom-simptom COVID-19. Walaupun telah berjaya mengekang penularan wabak, tapi kita masih perlu berhati-hati,” katanya.

Nushirwan berkata rakyat Malaysia boleh mencontohi budaya media sosial rakyat China yang lebih terkawal.

“Tolonglah jangan dengar khabar angin. Rakyat Malaysia kena mengamalkan tapisan kendiri untuk tidak menularkan berita tidak benar dan jangan mendengar serta percaya khabar angin.

“Saya sendiri hanya mengikuti sendiri Facebook dan pengumuman dari Dr Noor Hisham (Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) sebab dialah yang pakar di negara kita,” katanya.

Nushirwan berkata, Malaysia juga boleh melihat bagaimana cara China meningkatkan kembali ekonomi mereka selepas kes COVID-19 mula menurun.

“Kita kena lihat keadaan ini (situasi COVID-19) sebagai cara untuk kita meningkatkan ekonomi dengan lebih kompetitif lagi. Contohnya perkhidmatan dalam talian (di China) lebih maju daripada sebelum COVID-19. Saya rasa di Malaysia boleh buat benda (perkara) yang sama.

“Kita kena fikir cara lebih fleksibel bagaimana untuk kita berniaga.  Banyak benda yang boleh kita belajar dari China dan sebenarnya banyak juga pengalaman kita yang mereka boleh belajar. Ini proses saling belajar (dan) mempelajari,” katanya.

Dalam pada itu, Nushirwan memberi jaminan pihaknya akan sentiasa menjaga kebajikan rakyat Malaysia di China khususnya kepada 141 pelajar.

“Kebajikan pelajar menjadi perkara sensitif khususnya menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Saya beri jaminan kebajikan mereka akan sentiasa terjaga,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul