Siakap Keli
Kredit: Bernama

Orang Ramai Perlu Terus Patuhi PKP Ke Arah Sifar Kes Positif COVID-19 Untuk Tamatkan PKP

Putrajaya, 18 April – Menteri Kanan (Bahagian Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai perlu terus patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke arah sifar kes positif COVID-19 untuk menamatkan PKP.

Menurutnya, PKP menunjukkan perkembangan yang baik dalam mengurangkan penularan COVID-19. Namun, usaha ini belum berakhir.

“Semalam ada 86 kes, ini merupakan satu perkembangan yang amat baik. Sudah dua hari kita kurang 100. Tapi selepas hari pertama kurang 100, ia naik jadi 100. Semalam, kurang daripada 100.

“Maknanya kita belum sifar lagi dari COVID-19 positif di dalam negara kita walaupun kita telah menunjukkan kejayaan,” tambah beliau.

Rakyat perlu bantu kerajaan untuk tamatkan PKP

Katanya lagi, rakyat perlu membantu kerajaan untuk memastikan kes COVID-19 sifar agar PKP dapat ditamatkan.

“Kalau kita dah nampak kejayaan hasil PKP, kita sepatutnya membantu kerajaan memastikan sifar COVID-19 ini berdasarkan peraturan PKP yang kita perkenalkan.

“Jika salah satu punca penurunan kes (selain Kementerian Kesihatan) adalah dengan mengawal pergerakan sepatutnya kita terus tidak melakukan pergerakan dan akhirnya kita sifar COVID-19 dan boleh tamatkan PKP ini,” ujar beliau.

“Sebab itu bila Ketua Polis Negara (KPN) beri amaran, jika rakyat ingkar, PKP akan diteruskan hingga Jun, Julai dan sebagainya. Ini satu peringatan kepada rakyat.”

Jangan terlalu yakin

Beliau turut berpesan agar rakyat tidak terlalu yakin dan melanggar perintah ini selepas melihat penurunan kes.

“Kalau pelanggaran itu menyebabkan merebak semula virus ini, akhirnya PKP mungkin tidak dapat kita tamatkan,” katanya sambil menambah penentuan itu akan dilakukan Kabinet.

Beliau sempat berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan barisan keselamatan yang bekerja keras memastikan penurunan kes wabak ini.

Sumber: RTM

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.