Siakap Keli

Kadar Zakat Fitrah Di Selangor Ditetapkan RM7 Seorang

Gambar: Google

SHAH ALAM, 20 April — Kadar zakat fitrah bagi Selangor tahun ini kekal RM7 seorang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M. Yusop.

Beliau berkata kadar zakat fitrah itu ditetapkan berdasarkan harga semasa beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya diguna oleh masyarakat di negeri ini.

Bagi golongan berkemampuan pula katanya, mereka digalakkan untuk membayar kadar zakat fitrah sebanyak RM14 dan RM21 seorang mengikut jenis beras yang dimakan bagi diri sendiri dan tanggungan.

Bagaimanapun, disebabkan ramai umat Islam di Selangor terkesan kemampuan kewangannya susulan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, mereka boleh menunaikan zakat fitrah mengikut kemampuan diri serta keluarga masing-masing.

“Menunaikan zakat fitrah adalah wajib bagi umat Islam namun jika tahap ekonomi individu itu terbatas ketika ini, mereka boleh membayarnya ikut kemampuan diri dan keluarga.

“Contohnya, jika keluarga ada empat orang tapi yang mampu untuk dibayar hanya dua orang, maka bayar dua orang saja,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

 Beliau berkata susulan pelaksanaan PKP, pembayaran zakat fitrah dan zakat harta buat masa ini dilakukan secara dalam talian menerusi laman web ezakatPAY LZS atau secara perbankan internet Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB Bank, Bank Islam, Alliance Bank selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.

Saipolyazan berkata, bermula hari ini juga, pembayaran fidyah boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web ezakatPAY untuk memudahkan orang ramai melunaskannya dan bagi yang ingin membuat semakan penyata zakat, ia boleh dilakukan menerusi laman web https://ezo.zakatselangor.com.my.

Mengenai inisiatif LZS membantu golongan yang tidak mahir menggunakan internet bagi menunaikan  zakat fitrah sekiranya tempoh PKP dilanjutkan lagi, beliau berkata pihaknya sedang berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat kesesuaian untuk melantik penolong amil fitrah bagi tujuan kutipan pembayaran itu.

“Kami sedang berbincang dengan MKN untuk mengutip zakat fitrah menerusi penolong amil fitrah dan jika diluluskan, kaedahnya tertakluk kepada garis panduan yang diberikan pihak berkuasa bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 menerusi cara kutipan ini,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan penolong amil fitrah yang dikemukakan dalam perbincangan dengan MKN juga hanya melibatkan golongan tidak berisiko tinggi dan tidak bergejala selain mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber: BERNAMA

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.