Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan dana sebanyak RM2.16 juta untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada golongan sasaran melalui program Dapur It’am.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, program tersebut merupakan inisiatif MAIWP dalam memastikan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan tersedia khususnya kepada golongan sasar seperti asnaf, rakan jalanan dan B40.
“Peruntukan tersebut adalah sebagai dana tambahan bagi 72 masjid dan Surau Diri Jumaat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang akan mengambil bahagian dalam program sepanjang bulan Ramadan ini.
“Urus setia yang terlibat adalah tertakluk kepada garis panduan pelaksanaan yang mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.
“Semoga madrasah Ramadan pada kali ini memberi makna kepada kita dalam memahami erti pengorbanan, persaudaraan dan kesaksamaan dalam mencapai ketakwaan kepada-Nya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
RM2.16 JUTA UNTUK DAPUR IT’AM SEDIAKAN JUADAH BERBUKA PUASA BAGI GOLONGAN SASAR DI WILAYAH PERSEKUTUAN SETIAP HARI SEPANJANG RAMADHAN 1441H pic.twitter.com/DtFQisGFUs
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (@drzul_albakri) April 22, 2020
Sumber: Twitter