Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

PKP: 8 Lelaki Didenda RM1,000, Makan Ayam Di Belakang Rumah

Gara-gara makan ayam beramai-ramai di belakang rumah, lapan lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman denda maksimum terhadap kelapan-lapan lelaki itu yang mana berumur dalam lingkungan 33 – 63 tahun.

Mahkamah memerintahkan kesemua mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda itu.

Mereka didakwa ingkar Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 iaitu berhimpun dalam kawasan jangkitan di belakang rumah di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, Gombak, di sini, pada jam 6 petang, Ahad lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. Bagaimanapun, peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), yang mewakili semua lelaki itu, memohon hukuman denda minimum kerana mereka telah menyesal atas perbuatan itu.

“Kelapan-lapan mereka ditangkap semasa mereka sedang makan di tempat tersebut dan memohon maaf atas perbuatan mereka itu,”katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right