Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Tuah Pekerja Terkandas Di China Bantu Uruskan Tempahan Sumbangan PPE

JOHOR BAHRU, 23 April —  Meskipun tidak dapat pulang ke Malaysia akibat wabak COVID-19, warga China  Lu Ying memanfaatkan masanya di Hubei, China, dengan membantu syarikatnya di sini untuk mendapatkan peralatan perlindungan diri (PPE) dalam masa yang singkat.

Beliau yang bekerja sebagai pengurus Pembangunan dan Penyelidikan di sebuah syarikat pengeluar cat motosikal di negeri ini, terkandas di wilayah itu ketika pulang untuk menyambut Tahun Baru Cina di sana Januari lepas.

Ternyata, “tuah” Lu Ying berada di sana telah membolehkannya membantu mendapatkan PPE dalam kuantiti yang banyak dan dalam tempoh yang singkat untuk disumbangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor oleh syarikatnya, kata Pengarah Operasi syarikat tersebut K.N.Paran.

Katanya, tanpa bantuan Lu Ying mustahil set PPE meliputi 20,000 set kelengkapan sut perlindungan pakaian, 50,000 penutup mulut dan hidung  dan 300 alat pengukur suhu badan atau ‘themometer’ dapat diberikan pada waktu ini.

“Pegawai penyelidik kami balik ke Hubei untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada Januari lalu dan ketika itu belum lagi berlaku wabak COVID-19 ini. Namun keadaan di China berubah sekelip mata dan apabila berlaku ‘lockdown’ (sekatan pergerakan), dia tidak dapat pulang ke sini.

“(Bagaimanapun), keberadaannya di sana menjadikan urusan tempahan agak senang. Bila keadaan semakin pulih dan boleh bergerak, dia telah menguruskan segala tempahan dan saya percaya tanpanya di sana, mustahil kami boleh dapatkan tempahan PPE ini dalam waktu yang singkat, ” katanya ketika ditemui Bernama selepas menyampaikan sumbangan di Hospital Permai di sini, semalam.

Sumbangan PPE bernilai hampir RM1 juta itu disampaikan kepada Pengarah Kesihatan negeri Dr  Aman Rabu.

Paran berkata Lu Ying berada dalam keadaan baik dan akan terus berada di sana bersama keluarganya sehingga keadaan kembali pulih dan sekatan ke luar negara ditarik balik.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab syarikat untuk mengambil sedikit keuntungan yang diperoleh untuk disumbangkan kembali untuk kepentingan masyarakat di negeri ini.

“Kami ingin menyampaikan rasa terima kasih kami kepada petugas barisan hadapan atau frontliners khususnya para doktor,  jururawat yang berkorban masa dan tenaga berbakti kepada masyarakat.  Ini masanya untuk kita beri sokongan dan sama -sama bantu mereka kerana apa yang mereka korbankan tidak ternilai dan apa yang kita bagi ini tidak terbanding dengan pengorbanan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Permai Dr. Norazam Harun berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak yang prihatin dengan keperluan yang diperlukan ketika waktu COVID-19.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story