Siakap Keli
Gambar: Bernama/Facebook

Bosan Berkurung & Rumah Panas, Alasan 2 Warga Myanmar Cuba Lolos Dari PKPD

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — Bosan terkurung di rumah, dua lelaki Myanmar cuba meloloskan diri melalui kawat duri untuk keluar dari kawasan rumah mereka di Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tindakan mereka yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu, bukan sahaja menyebabkan mereka ditahan polis malah seorang daripada lelaki itu turut cedera apabila terjatuh dan tersangkut di kawat duri itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata dua lelaki yang masing-masing berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan pada 6 petang semalam kerana cuba keluar dari kawasan itu.

Cubaan lolos itu gagal setelah seorang daripadanya terjatuh dan tersangkut di kawat duri itu dan cedera di tangan, kaki serta belakang badan. Dia dibawa ke Hospital Selayang dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini.

Arifai berkata hasil siasatan mendapati lelaki terbabit menggunakan alasan bosan serta panas kerana berasa terkurung di rumah sewa mereka berikutan PKPD dikenakan di kawasan itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kira-kira 60 peratus daripada lebih 3,000 penduduk yang berada dalam kawasan PKPD itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 setakat ini.

Kawasan Selayang Baru dikenakan PKPD sejak 25 April sehingga 3 Mei.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.