Siakap Keli

P. Pinang Lulus Peruntukan RM300,000 Untuk Operasi Pembenihan Awan Di Kawasan Utara

GEORGE TOWN, 28 April — Kerajaan Pulau Pinang meluluskan peruntukan RM300,000 untuk membiayai operasi pembenihan awan di Pulau Pinang dan Kedah yang dijangka akan dilaksanakan akhir bulan ini sehingga Mei.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata operasi pembenihan awan itu perlu dilaksanakan segera untuk memastikan air mentah di dua negeri itu mencukupi hingga musim hujan berikutnya pada bulan Ogos.

“Pada 22 April lepas, PBAPP mengemukakan Pelan Kontingensi Bekalan Air kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow. Mesyuarat meluluskan pelan itu kerana sekarang adalah musim peralihan monsun ketika adanya awan hujan.

“Oleh itu, kebarangkalian kejayaan mencetuskan hujan adalah lebih tinggi. Operasi pembenihan awan akan dilakukan oleh syarikat yang disyorkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Jabatan Meteorologi juga akan memberikan nasihat meteorologi pakar mengenai operasi pembenihan awan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kapasiti efektif enam empangan utama di Pulau Pinang dan Kedah pada masa ini sangat rendah kerana hujan yang luar biasa rendah sejak separuh kedua tahun 2019.

Jaseni berkata sehingga semalam, kapasiti efektif tiga empangan di Pulau Pinang iaitu Air Itam, Teluk Bahang dan Mengkuang masing-masing berada pada paras 33.3 peratus, 20.4 peratus dan 67.2 peratus, perbezaan ketara dengan paras yang direkodkan ketiga-tiga empangan itu pada 1 Jan lepas iaitu 65.2 peratus, 41.8 peratus dan 74.9 peratus.

Kapasiti efektif tiga empangan di Kedah pula iaitu Muda, Beris dan Pedu masing-masing pada paras 5.4 peratus, 41.7 peratus dan 33.9 peratus setakat semalam berbanding paras yang direkodkan pada 1 Jan lepas iaitu 31.9 peratus, 92.4 peratus dan 52.5 peratus, katanya.

“PBAPP mengunjurkan untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam sebanyak 20 peratus, Teluk Bahang (15 peratus) dan Mengkuang sebanyak lima peratus dari operasi pembenihan awan dan hujan peralihan monsun semasa dalam bulan April hingga Mei ini.

“Kapasiti tambahan ini diperlukan pada bulan Jun ini untuk memastikan bekalan air yang cukup untuk Pulau Pinang sehingga musim peralihan musim seterusnya pada bulan Ogos. Pada masa yang sama, PBAPP akan memantau dengan teliti kapasiti efektif Empangan Muda, Beris dan Pedu di Kedah serta paras air Sungai Muda,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul