”Strategi Berbeza, Tapi Hasilnya Amat Hebat”, Pakar Dari China Kagum Dengan Cara Sarawak Bendung COVID-19

KUCHING, 28 April — Sekumpulan lapan pakar perubatan dari China yang kini berada di Sarawak kagum dengan hasil yang dicapai oleh negeri itu dalam usaha membendung pandemik COVID-19.

Konsul Jeneral Republik China di Kuching Cheng Guangzhong hari ini berkata pakar terbabit yang diketuai Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong Dr Li Jun menzahirkan rasa puas hati mereka selepas melawat Hospital Besar Sarawak dan beberapa kemudahan kesihatan lain di sini.

“(Pakar China terbabit berkata) Strategi yang digunakan di sini berbeza namun hasilnya amat hebat. Petugas penjagaan kesihatan anda (Sarawak) dan barisan hadapan yang lain juga telah bekerja keras,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri I Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Selain Dr Li, yang merupakan Ketua Pakar Perubatan dan Penyelia Penuntut Lepasan Ijazah Perubatan Kecemasan Barat Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong, pakar lain yang turut serta ialah Dr Wen Miaoyun, Dr Zhang Youping, Dr Liu Tao, Dr Sun Jiufeng, Dr Yang Shifang, Dr Luo Xiaodan dan Dr Liu Xiangxin.

“Mereka datang untuk melakukan pemerhatian dan melihat bagaimana China boleh membantu menambah baik pengurusan dalam rawatan bagi memulihkan pesakit COVID-19. Jadi kami datang ke sini untuk menghulurkan bantuan dalam situasi yang amat kritikal ini. Adalah penting China dan Malaysia boleh bekerjasama sepenuhnya dalam membantu antara satu sama lain,” kata Cheng.

Sementara itu, Uggah yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis kunjungan hormat tersebut berkata Sarawak melakukan pemerhatian yang teliti, mengkaji dan belajar dari China serta negara lain yang berjaya dalam perjuangan mereka menentang COVID-19.

Beliau berkata China mencapai kejayaan susulan pelbagai strategi yang dilakukan dan kunjungan yang dilakukan Dr Li serta pasukan pakar terbabit adalah satu penghormatan kepada negeri itu.

“Kami amat berterima kasih kepada China dan Kerajaan Persekutuan kerana menghantar mereka ke sini. Di Malaysia, kita mempunyai pasukan yang berdedikasi untuk menerajui perjuangan ini,” katanya.

Beliau berharap pasukan pakar terbabit boleh memberikan analisis yang kritikal kepada Sarawak berhubung strategi dan pendekatan yang telah diambil di negeri itu bagi membendung penularan COVID-19, sambil berkongsi pengalaman mereka dengan pasukan petugas negeri.

Delegasi China itu turut menyampaikan sebanyak 10,000 keping penutup hidung dan mulut N95, 10,000 keping penutup hidung dan mulut bagi pembedahan, 10,000 keping penutup hidung dan mulut untuk jururawat serta 2,500 unit gogal pelindung kepada negeri tersebut semasa kunjungan hormat.

Sumber: BERNAMA

Denin

Menulis untuk mendidik.

Editor: Fazidi