Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19: Hampir 70 Peratus Pesakit Di Malaysia Sembuh

Berikut adalah rangkuman mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 27 April hingga pukul 12:30 tgh 1 Mei.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia mencecah 6,000 sementara di peringkat global, kes sudah melepasi angka tiga juta, sementara angka kematian pula melepasi 200,000 orang. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah. 

Kuala Lumpur (Bernama ) — Hampir 70 peratus pesakit COVID-19 di negara ini disahkan sembuh setakat ini sementara kes baharu kekal dua angka sepanjang rangkuman ini dibuat.

Jumlah kes baharu paling rendah dicatat sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu ialah pada Selasa 28 April, iaitu 31 kes,

Untuk rekod, PKP kini memasuki fasa keempat, dari 29 April hingga 12 Mei depan. Fasa satu bermula 18 Mac hingga 31 Mac, fasa kedua 1 April hingga 14 April dan fasa ketiga, 15 April hingga 28 April.

Setakat pukul 12 tengah hari Khamis 30 April, seramai 84 orang lagi pesakit COVID-19 didiscaj, menjadikan jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya 4,171 kes iaitu 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Seramai 36 pesakit positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi dan daripada jumlah itu, 14 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat dua (2) kematian, menjadikan jumlah kumulatif kematian kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 102 kes iaitu 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dengan 57 kes baharu dilaporkan, jumlah kes positif COVID-19 di negara setakat ini 6,002 kes. Daripada jumlah itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,729 kes.

Jumlah kes baharu menunjukkan penurunan ketara 50 angka ke bawah untuk beberapa hari bermula 20 April (36 kes), 22 April (50 kes), 26 April (38 kes), 27 April (40) kes dan 28 April (31 kes).

Kes baharu memuncak kembali kepada 94 kes pada Rabu 29 April dan 57 kes, Khamis 30 April.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan untuk Rabu 29 April, daripada 94 kes baharu, 72 kes adalah kes import melibatkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia. Ini bermakna, kes penularan tempatan (local transmission) adalah 22 kes sahaja.

Sementara untuk 57 kes baharu pada Khamis 30 April pula, 25 kes melibatkan kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan (local transmission) adalah 32 kes sahaja.

Dr Noor Hisham sebelum ini menyatakan, dengan peningkatan kes pulih daripada COVID-19, yang menjadikan jumlah kes aktif semakin menurun sepanjang fasa ketiga PKP., ia sekaligus berjaya meratakan lengkung dan Malaysia kini memasuki fasa pemulihan.

KELONGGARAN PKP

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan sempena Hari Pekerja hari ini berkata, mulai Isnin (4 Mei), hampir semua sektor ekonomi dan perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat yang dipanggil Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beberapa kelonggaran lain diumumkan sebelum ini di bawah fasa keempat berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP berbanding sebelum ini.

Bermula 29 April, Kerajaan membenarkan dua orang untuk bergerak dalam satu kenderaan, dengan syarat kedua-duanya adalah ahli keluarga dan dari rumah yang sama.

SOP pergerakan sebelum ini membenarkan pergerakan hanya seorang dalam kenderaan bagi radius 10 kilometer dari kediaman dan pergerakan yang melebihi 10 kilometer adalah atas budi bicara PDRM.

Pergerakan ini dibenarkan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan boleh melebihi radius 10 kilometer sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediamannya.

Kerajaan sebelum itu memberi kelonggaran untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti pulang ke kampung halaman secara berperingkat mulai malam 27 April.  Operasi yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan ini dilaporkan melibatkan sekitar 53,000 orang pelajar.

Pergerakan pulang ke kampung tersebut hanya melibatkan pelajar yang berada di zon hijau sahaja untuk pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau.

Operasi ini yang dikendalikan Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) juga mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelajar juga perlu menjalani saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selesema dan sesak nafas) yang dijalankan oleh KKM dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum pergerakan pulang itu.

Kelonggaran juga diberi kepada rakyat negara ini yang pulang ke kampung sejak sebulan yang lalu dan tidak dapat pulang ke kota berikutan PKP.

Permohonan dan pendaftaran kepada PDRM dibuka bermula 25 April lepas.  Selepas 1 Mei ini, kerajaan dijangka membincangkan mengenai SOP sebelum sebarang keputusan dibuat.

Setakat ini PDRM dilaporkan menerima sekitar 500,000 permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia.

PERKEMBANGAN LAIN

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media Rabu 29 April mengumumkan bahawa pesakit koronavirus (Covid-19) yang bergejala ringan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan dipindahkan ke hospital sementara yang terletak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pesakit Covid-19 di tahap empat dan lima akan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh. Petugas kesihatan yang merawat pesakit Covid-19 akan turut dipindahkan.

Sementara itu, jumlah zon merah kekal 12 kawasan setakat rangkuman ini dibuat. Menurut maklumat KKM, kawasan tersebut ialah dua di Selangor iaitu Petaling dan Hulu Langat, diikuti dengan Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur, kemudian Johor Baharu dan Kluang di Johor.

Lima lagi daerah ialah Kuantan di Pahang, Seremban (Negeri Sembilan), Kuching dan Kota Samarahan (Sarawak) serta Melaka Tengah (Melaka).

Kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) kekal enam.

Kawasan-kawasan itu ialah kawasan penempatan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, kawasan sekitar Masjid India, yang melibatkan juga Jalan Mushi Abdullah, Jalan Tun Perak, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di samping Menara City One di Jalan Mushi Abdullah, Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur; Kluang, Johor dan Hulu Langat, Selangor.

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 3,308,290 dan angka kematian 234,108 orang. Jumlah pesakit yang sembuh, 1,042,841 orang.

Amerika Syarikat : Sejak kes COVID-19 mula dikesan di negara ini pada 20 Jan, negara ini mencatat sejuta kes pada Selasa 28 April. Setakat rangkuman ini dibuat, angka kes meningkat kepada 1,095,210 kes dan 155,737 pesakit sembuh.

Bukan sahaja mencatat jumlah kes tertinggi dalam senarai negara yang dilanda wabak ini, malah angka kematiannya juga paling tinggi iaitu 63,861 orang. Angka kematian ini dilaporkan mengatasi jumlah kematian askar Amerika dalam Perang Vietnam.

Wabak COVID-19 juga dilaporkan sudah merebak ke semua 50 buah negeri di negara itu. New York, pusat merebaknya wabak COVID-19 mencatat lebih 159,000 kes dengan angka kematian, sekitar 12,000 orang.

Sepanyol di tempat kedua dengan 239,639 kes, 24,543 kematian; Itali mengatasi Perancis dengan 205,463 kes dan 27,967 kematian dan United Kingdom 171,253 kes dan 26,771 kematian.

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 tidak banyak mencatat perubahan kes. Jumlah kes semasa rangkuman dibuat ialah 82,874 berbanding 82,804 pada 24 April. Jumlah kematian 4,633 berbanding 4,632 pada 24 April.

Di negara-negara jiran Malaysia, wabak penyakit COVID-19 terus menunjukkan peningkatan yang besar, seperti berikut:-

Singapura: Sebanyak 16169 kes dengan angka kematian, 15. Seramai 1,244 orang dilaporkan sembuh. Sebahagian besar daripada kes baharu yang dikesan di Singapura melibatkan mereka yang memegang permit kerja dan tinggal di asrama pekerja.

Ini diikuti Indonesia 10,118 kes (792 kematian), Filipina 8,488 kes (568 kematian), Thailand 2,954 kes (54 kematian), Vietnam 270 kes (0 kematian), Brunei 138 kes (1 kematian), Myanmar 151 kes (6 kematian), Kampuchea 122 kes (0 kematian) dan Laos 19 kes (0 kematian).

Negara lain yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang besar berbanding minggu yang sebelumnya termasuk:-

Perancis 167,178 kes (24,376 kematian), Jerman 163,009 kes (6,623 kematian),Turki 120,204 kes (3,174 kematian), Rusia 106,498 kes (1,073 kematian), Iran 94,640 kes (6,028 kematian), Brazil 87,187 kes (6,006 kematian), Kanada 53,236 kes (3,184 kematian), Belgium 48,519 kes (7,594 kematian), Belanda 39,316 kes (4,795 kematian), Peru 36,976 kes (1,051 kematian), India 34,863 kes (1,079 kematian), Switzerland 29,586 kes (1,737 kematian), Portugal 25,045 kes (989 kematian), Equador 24,934 kes (900 kematian) dan Arab Saudi 22,753 kes (162 kematian).

————————————————————————————————————-

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

 

— Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

— WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

— Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

— Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right