Siakap Keli

Pejabat Kerajaan Beroperasi Dengan Kehadiran Berpadanan Semasa Hari Pertama PKPB

KUALA LUMPUR, 5 Mei — Pejabat kerajaan beroperasi dengan kehadiran yang berpadanan pada hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata laporan catatan kehadiran semasa daripada kementerian serta jabatan masing-masing mendapati purata peratusan kehadiran penjawat awam ke pejabat adalah 15 hingga 35 peratus semalam.

“Dapatan laporan yang diterima menerusi kementerian serta jabatan menunjukkan peratusan kehadiran penjawat awam pada hari pertama PKPB tidak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

“Data pelaporan peratusan yang diterima ini jelas menunjukkan bahawa walaupun pejabat kerajaan mula beroperasi sepenuhnya bermula 4 Mei, namun pendekatan yang diambil oleh ketua jabatan masing-masing telah meminimumkan kehadiran penjawat awam ke pejabat dengan opsyen bekerja dari rumah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Khairul berkata antara laporan kehadiran yang diperolehi seperti Kementerian Tenaga dan Sumber Asli adalah 15 peratus; Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), 24 peratus; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (29 peratus); Kementerian Pengangkutan (27 peratus).

Unit Perancang Ekonomi (28 peratus); Kementerian Dalam Negeri (38 peratus); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (20 peratus); Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (28.18 peratus); Kementerian Pertahanan (27.48 peratus); Kementerian Pengajian Tinggi (35.01 peratus); Kementerian Kerja Raya (30 peratus) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (15 peratus)

Jelasnya, peratusan kehadiran itu akan berubah mengikut masa dan keperluan tanpa menjejaskan prinsip asas dan objektifnya.

“Pendekatan bekerja dari rumah dan bekerja mengikut waktu fleksi adalah pendekatan yang digalak dan diamalkan pada ketika ini untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“Semua kementerian dan jabatan diarah supaya memastikan sistem penyampaian kerajaan berfungsi sepenuhnya. Budi bicara ketua jabatan dalam menguruskan sumber manusia di pejabat masing-masing adalah dibenarkan dalam memastikan sistem penggiliran atau mereka yang diminta untuk bekerja dari rumah dapat dikawal selia bagi menjamin penyampaian perkhidmatan berterusan,” katanya.

Mohd Khairul berkata ketua jabatan perlu memastikan peraturan sedia ada dipatuhi sepenuhnya selari dengan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, JPA berharap semua pihak yang berurusan dengan pejabat kerajaan dapat mematuhi normal baharu melalui garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan kementerian serta jabatan berkaitan.

“Perkhidmatan yang dapat dilakukan secara dalam talian perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Kita harus cepat mengadaptasi pendekatan dan persekitaran yang berbeza dalam normal baharu kerja pada masa sekarang bagi memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dibendung dengan kadar segera,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul