Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trend Bacaan IPU Menurun: Semua Institusi Pendidikan Di Johor Kembali Beroperasi Isnin Ini

Bacaan IPU
Kredit: Bernama

JOHOR BAHRU, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor memutuskan semua institusi pendidikan akan kembali beroperasi pada Isnin ini setelah mengambil kira perkembangan situasi jerebu dan penilaian agensi berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata keputusan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Johor.

Beliau berkata selain itu, perubahan arah angin yang bermula hari ini, peningkatan kelembapan dan jangkaan hujan dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu selain mengambil kira trend penurunan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di seluruh negeri sejak lima hari lepas.

“Pembukaan semula ini juga mengambil kira keperluan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun serta persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Penilaian risiko kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Johor turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Naqib berkata Jabatan Pendidikan Johor akan menyelaras pelaksanaan prosedur operasi standard kesihatan dan keselamatan termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan berdasarkan bacaan IPU semasa dan garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata pada masa sama, kerajaan negeri dan agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu secara berterusan dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Kita sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesihatan warga sekolah terus menjadi keutamaan selain menjamin kesinambungan pendidikan anak Johor,” katanya.

Sebelum ini, penutupan semua sekolah di Johor selama 10 hari melibatkan lebih 1,000 sekolah dan kira-kira 600,000 pelajar susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

Lapan kawasan di Johor mencatatkan IPU tidak sihat dengan Larkin merekodkan bacaan tertinggi 170 setakat 12 tengah hari tadi.

Intipati
  • Semua institusi pendidikan di Johor akan kembali beroperasi pada Isnin ini.
  • Keputusan dibuat selepas trend IPU menurun dan perubahan cuaca dijangka mengurangkan jerebu.
  • Jabatan Pendidikan Johor akan menyelaras SOP kesihatan berdasarkan bacaan IPU semasa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan