Siakap Keli

Penyelidik Dari Australia Puji Cara Malaysia Kekang COVID-19, Layak Diiktiraf & Dijadikan Ikutan Negara Lain

Keupayaan Malaysia dalam merangka dan melancarkan strategi demi strategi dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di seluruh negara mendapat pengiktirafan daripada penyelidik di media antarabangsa.

Penghargaan itu dirakam dalam satu penulisan komentar oleh seorang penyelidik dari Australia, Stewart Nixon menerusi portal berita Channel News Asia, baru-baru ini.

Kata Stewart dalam penulisannya berkata, respon Malaysia terhadap pandemik layak diiktiraf dan menjadi ikutan kepada negara-negara yang mempunyai konflik pencerobohan sempadan, populasi yang padat serta iklim politik yang tidak menentu.

Jelasnya, Malaysia berjaya mengharunginya biarpun ‘fenomena’ jangkitan COVID-19 mula berlaku selepas dua minggu politik negara menyaksikan krisis pergolakan dan peralihan kuasa Kabinet.

“Usaha keras Malaysia ini diterajui di bawah kepimpinan pemimpin yang meyakinkan, iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang mampu menggabungkan kepakarannya dalam bidang perubatan dengan penjagaan dasar awam yang hebat.

“Beliau dan golongan profesional barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) turut mendapat sokongan daripada ahli politik (kerajaan) untuk memikul tanggungjawab itu.

Gambar: Agensi

“Pelaksanaan pencegahan berjaya dijalankan secara konsisten dan diselaraskan di seluruh negara, selain mesej (pesanan) untuk orang awam ternyata jelas dan berfakta serta (penyampaiannya) boleh diakses melalui media lama mahupun baharu.

“Selain itu, perkhidmatan awam yang kuat bersumberkan kepimpinan tanpa berunsur politik juga terbukti sangat berharga,” katanya dalam penulisan komentarnya bertajuk Malaysia Melawan Semua Jangkaan Ganas COVID-19 yang diterbitkan pada 4 Mei, semalam.

Mengulas lanjut, Stewart menambah, langkah mengesan kontak rapat secara agresif  dan ujian saringan secara berstrategik juga merupakan faktor tunjang kejayaan tersebut.

“Sama seperti negara lain, Malaysia juga berusaha keras mempertingkatkan dan memperluaskan ujian saringan ketika pada awal penularan wabak.

“Semua kes positif dimasukkan ke hospital untuk mencegah penularan virus itu dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti setempat, serta hospital sementara juga turut didirikan sebagai persediaan awal menghadapi lonjakan kes,” jelasnya lagi.

Menyokong kawalan pergerakan

Selain itu, menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuatkuasa pada 18 Mac lalu adalah sangat penting untuk menghadkan jangkitan.

“PKP di Malaysia agak ketat, ia melarang segala pergerakan orang awam selain daripada sektor-sektor perkhidmatan yang diperlukan (essential service).

“Aktiviti beriadah di luar adalah dilarang dengan tangkapan kira-kira 20,000 individu yang didakwa mengingkari arahan PKP tersebut.

“Selain itu, penglibatan anggota polis dan tentera juga dikerah bagi mengawal dan menguatkuasakan perintah, tidak seperti di Filipina; tentera mereka dilarang berkawal dengan senjata.

“Malah, pembelian panik juga adalah dilarang serta rakyat di Malaysia ramai yang membantu secara sukarela,” tambahnya lagi.

Gambar: Google

Pendekatan pragmatik kepada warga asing

Dalam komentar itu lagi, penyelidik tersebut turut membahaskan pandangan peribadinya mengenai strategi Malaysia menangani pandemik melibatkan warga asing.

“Malaysia menjalankan pendekatan strategi PKP yang melibatkan warga asing secara pragmatik dan berperikemanusiaan.

“Atas nilai itu, ia telah mendorong warga asing tanpa dokumen untuk tampil menjalani saringan dan rawatan tanpa sebarang diskriminasi serta hukuman.

“Ia juga membuka ruang kerjasama antara pihak kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi makan kepada mereka (warga asing) yang terperangkap dalam kawalan PKP,” katanya.

Ujar Stewart, dalam usaha tersebut, kerajaan Malaysia mengambil langkah untuk tidak menghiraukan segala retorik sekeliling oleh pihak tertentu berkaitan kedaulatan dan kewarganegaraan, biarpun asalnya ia adalah isu ‘biasa’ dalam naratif politik negara.

Dan dalam masa sama, dunia perlu bersatu dan bekerjasama dalam menghadapi ancaman pandemik, seperti Malaysia yang bergabung bersama China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara ASEAN dalam saling memperkuatkan rantaian bekalan seperi barang dan perkhidmatan.

Walaupun keadaan sokongan terhadap (krisis) ekonomi memerlukan tindakan lebih lanjut, namun tindak balas pihak kesihatan Malaysia layak mendapat pengiktirafan atas menurunkan kadar jangkitan virus serta jumlah kematian, jelasnya lagi.

Penulisn komentar Stewart ini turut dikongsi oleh Dr. Jemilah Mahmood menerusi satu ciapan di Twitternya baru-baru ini.

Sumber: Channel News Asia, Twitter

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.