Siakap Keli
Foto: Bernama

Suami Sempat Bergurau Sebelum Bertolak Ke Kuala Lumpur – Isteri Allahyarham Abu Bakar

PEKAN, 7 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Datuk Seri Abu Bakar Harun sempat bergurau dengan isterinya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur bersama pemandunya dari Indera Mahkota, Kuantan dekat sini bagi menghadiri mesyuarat pukul 3.00 petang semalam.

Isterinya, Datin Seri Razana Fatin Abdullah@Razali, 46, berkata Allahyarham menghantar pesanan WhatsApp sekitar 10.30 malam, memaklumkan beliau dalam perjalanan ke Bangsar kerana mahu mengambil barang sebelum pulang.

“Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan oleh pemandu yang suami terjatuh dan sesak nafas menyebabkan pemandu menghubungi ambulans. Bagaimanapun doktor mengesahkan suami telah meninggal dunia semasa tiba di hospital pada 11.55 malam.

“Bedah siasat mengesahkan serangan jantung sebagai punca kematian. Pemergiannya amat tidak dijangka kerana Allahyarham sihat dan tidak mempunyai sejarah sakit jantung sebelum ini,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Tanah Perkuburan Islam Chini di sini, hari ini.

Razana Fatin berkata suaminya meninggalkan sepasang anak daripada perkahwinan sebelum ini serta empat orang cucu berusia antara tiga tahun dan setahun setengah.

Jenazah Abu Bakar, 60, selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu sekitar 2.30 petang ini dan antara yang hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Allahyarham, yang juga peneroka Felda Chini mula bergelar ADUN Chini sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada tahun 2004 dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda pada 2013 hingga 2018.

Beliau, yang berkelulusan Sijil Perakaunan dari Maktab Kerjasama Malaysia pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan namun kini Ahli Jawatankuasa.

Anak Allahyarham, Auni Nassuha, 28, yang menetap di Taman Sri Keramat, Maran dekat sini berkata bapanya ada memaklumkan tidak dapat beraya dan memberikan duit raya pada tahun ini, namun beliau hanya beranggapan ia kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa.

“Tapi saya mula tidak sedap hati apabila teringat perbualan kami menerusi WhatsApp pada 29 April lepas kerana abah tiba-tiba menasihatkan saya supaya menyimpan wang kerana dia tidak boleh membantu saya pada masa hadapan,” katanya.

Anak sulung Allahyarham Mohd Ikmal Izwandi, 34, berkata kali terakhir mereka bertemu ialah semasa menghadiri kenduri sebelum PKP bermula, kerana beliau menetap di Kampung Bintang, Maran bersama keluarganya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan Mohd Razali Ithnain dari PKR dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, calon PAS.

Chini satu daripada empat kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan yang disandang oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang