Siakap Keli

(Video) 4 Katil Dalam Ruang Terhad, Video Papar Gambaran Wad Kuarantin Di Hospital Di Hong Kong

Umum telah mengetahui bahawa dunia kini sedang bertungkus lumus menggunakan segala cara yang ada bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19 yang setakat ini telah menjangkiti jutaan manusia di seluruh dunia.

Pada mereka yang terjangkit daripada virus maut ini, perasaan takut dan rindu pada keluarga pastinya akan mula menyelubungi diri kerana terpaksa dikuarantin dan diasingkan tanpa boleh berhubungan secara terus dengan ahli keluarga mereka kerana khuatir akan menyebabkan jangkitan lebih meluas.

Di Hong Kong, pesakit-pesakit yang disahkan positif Covid-19 akan diasingkan di dalam sebuah wad yang dikawal ketat oleh petugas kesihatan. Tidak ada orang yang dibenarkan masuk dan keluar daripada kawasan itu tanpa pengetahuan petugas kesihatan yang menjaga wad terbabit.

Wad bagi pesakit yang tidak kritikal itu berukuran sebesar 31 meter persegi dan dilengkapi dengan 4 buah katil pesakit serta sebuah tandas yang perlu dikongsi oleh kesemua pesakit yang ditempatkan dalam satu wad.

Wad tersebut dipisahkan dengan sebuah pintu kaca. Doktor dan jururawat hanya boleh berkomunikasi dengan pesakit Covid-19 ini melalui pintu itu sahaja. Segala keperluan pesakit boleh diminta melalui komunikasi daripada pintu itu sahaja.

Selain daripada itu juga, pesakit turut diajar supaya melakukan pemeriksaan kesihatan asas secara harian seperti mengambil rekod tekanan darah, dan suhu badan sendiri bagi memudahkan kerja doktor dan jururawat.

Ianya juga bertujuan untuk mengurangkan pembaziran ke atas set peralatan perlindungan diri (PPE) yang seperti sedia maklum, ianya sangat-sangat terhad semenjak tercetusnya wabak maut ini. Doktor dan jururawat hanya akan memasuki wad tersebut sekiranya ada pesakit yang betul-betul memerlukan bantuan.

Dalam pada itu juga, wad kuarantin tersebut juga turut dilengkapi dengan sistem penapisan udara. Sistem penapisan itu dapat mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di wad tersebut serta pesakit-pesakit lain.

Makanan pula disediakan oleh pihak hospital. Sarapan pagi akan dihantar di wad seawal pukul 7.30 pagi, makanan tengahari dihantar pada pukul 11.30 pagi manakala makan malam pula akan dihantar pada pukul 5.30 petang.

Setiap pesakit juga akan diberikan laci kecil untuk menyimpan barangan seperti stok makanan mahupun barangan peribadi.

Kebersihan di dalam wad itu juga turut dipantau rapi oleh petugas kesihatan. Bagi setiap bilik air yang terdapat di dalam wad tersebut, petugas pembersihan akan membersihkan wad serta tandas sebanyak dua kali sehari bagi memastikan kebersihan sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Di bawah peraturan kesihatan yang dikeluarkan kerajaan Hong Kong, setiap pesakit yang dijangkiti dengan Covid-19 perlu diuji sebanyak dua kali berturut-turut sebelum mereka boleh dibenarkan discaj daripada wad terbabit.

Pun begitu, ada juga pesakit yang dilaporkan terpaksa tinggal di wad itu selama lebih dari sebulan walaupun sudah tidak menunjukkan simptom virus tersebut bagi memastikan virus itu betul-betul telah tiada dalam diri pesakit.

Sumber: SCMP

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa