Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Dua Beradik Yatim Piatu, Ibu Bapa Maut Kemalangan Di PLUS

JOHOR BAHRU, 10 Mei — Dua beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 20.8, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini malam tadi.

Lebih menyayat hati, kemalangan itu hanya disedari oleh pihak penyelenggaraan Propel PLUS kira-kira 12 jam selepas itu iaitu pada 10.40 pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.00 malam ketika mangsa yang merupakan seorang jurutera dan isteri, seorang pegawai kaunselor di sebuah hospital serta dua anak lelaki mereka berumur enam dan empat tahun dalam perjalanan dari Muar menuju ke Johor Bahru.

Hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Caldina yang dipandu lelaki berkenaan gagal dikawal setelah tayar belakang di bahagian kiri pecah dan terbabas kira-kira 100 meter ke kiri bahu jalan, lalu melanggar sebuah pokok.

“Akibat daripada pelanggaran itu, pasangan suami isteri yang berada di bahagian pemandu dan penumpang depan tersepit manakala kedua-dua anaknya yang berada di belakang tercampak keluar berhampiran kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di pelbagai bahagian dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua anaknya ditemui pengsan dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua pasangan itu dibawa ke Hospital Kulai untuk bedah siasat dan dua anaknya juga ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan sementara waris mereka dihubungi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai PBK I Bakhtiar Selamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.53 pagi tadi dan mengambil masa selama 30 minit untuk mengeluarkan pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Herry Mohd Ali dan Khairrunisa Azman itu.

Dua anak mangsa iaitu Anas Ayyash (enam tahun) dan Ahmad Huzaifah (empat tahun) terus dibawa ke hospital dengan menaiki kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story