Siakap Keli

Tidak Benar, Pasar Jalan Pudu & Sekitarnya Bukan Kawasan PKPD – Menteri

Pemasangan kawat duri di sekitar Pasar Jalan Pudu awal pagi tadi bukan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebaliknya ia adalah pelaksanaan PKP yang mengawal secara pentadbiran.

“Ada keadaan tertentu yang kita hanya buat kawalan secara administrative (pentadbiran), belum lagi PKPD total lockdown, iaitu tidak dibenarkan keluar masuk dan sebagainya.

“Mungkin kita letak kawalan, tapi masih lagi mereka dibenarkan untuk beli makanan dan sebagainya,” katanya dalam Sidang Media Harian PKP, hari ini.

Mengulas lanjut, jelas Ismail, penduduk di kawasan tersebut tetap akan menjalani ujian saringan COVID-19 dalam memastikan mereka yang dijangkiti akan terus dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Biasanya kita buat saringan setiap individu di kawasan yang kita buat kawalan secara pentadbiran.

“Ia berbeza dengan PKPD (total lockdown), tutup sepenuhnya dan mereka tidak boleh keluar masuk dan barang makanan pun akan dihantar oleh pihak kerajaan. Ia berbeza,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian susulan menjawab pertanyaan wartawan berkenaan beberapa keping gambar yang tular di media sosial hari ini yang menunjukkan pihak tentera mula memasang kawat duri di sekitar Pasar Jalan Pudu.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada minit ke 11.50.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'