Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rumah Pertama: Jangan Beli Sebab Ikut Orang, Beli Sebab Anda Benar-Benar Bersedia

RUMAH
Kredit: Bernama

Rumah Pertama: Jangan Beli Sebab Ikut Orang, Beli Sebab Anda Benar-Benar Bersedia

Ramai mengimpikan memiliki rumah sendiri sebelum usia 30 tahun.

Ada yang sanggup berjimat setiap bulan, ada juga yang terus membuat tempahan kerana takut harga rumah terus meningkat.

Namun, persoalannya, adakah membeli rumah sekadar mampu membayar ansuran bulanan?

Hakikatnya, memiliki rumah pertama jauh lebih besar daripada itu.

Ia merupakan satu keputusan kewangan yang akan mempengaruhi kehidupan anda untuk tempoh 30 hingga 35 tahun akan datang.

Bagi pembeli rumah pertama, proses memilih hartanah sering kali menjadi pengalaman yang mengujakan, tetapi pada masa sama mengelirukan.

Lambakan projek baharu, promosi pemaju, kadar pinjaman bank dan pelbagai istilah hartanah membuatkan ramai tidak tahu di mana hendak bermula.

Sebenarnya, membeli rumah bukan sekadar memilih unit yang cantik atau lokasi yang popular. Ia bermula dengan memahami keperluan diri, kemampuan kewangan dan perancangan hidup pada masa hadapan.

Mulakan Dengan Menentukan Tujuan Membeli Rumah

Sebelum melihat iklan rumah atau berkunjung ke galeri jualan, tanyakan kepada diri sendiri satu soalan penting.

Adakah rumah itu akan didiami bersama keluarga, atau dibeli sebagai pelaburan?

Jawapan kepada persoalan itu akan menentukan jenis hartanah yang sesuai untuk anda.

Jika masih bujang dan bekerja di pusat bandar, sebuah kondominium atau studio berhampiran tempat kerja mungkin pilihan paling praktikal. Namun jika sudah berkahwin atau merancang menambah ahli keluarga, rumah bertanah yang lebih luas mungkin lebih sesuai untuk jangka panjang.

Pada masa sama, fikirkan juga sama ada rumah tersebut mudah disewakan atau dijual semula sekiranya anda perlu berpindah atas faktor kerjaya pada masa depan.

Kenali Jenis Hartanah Sebelum Membuat Keputusan

Malaysia menawarkan pelbagai pilihan hartanah seperti rumah teres, rumah bandar, kondominium, apartmen servis, banglo dan rumah berkembar.

Selain jenis rumah, pembeli juga perlu memahami status pemilikan seperti Freehold dan Leasehold.

Hartanah Freehold memberi hak milik kekal kepada pemilik, manakala Leasehold pula mempunyai tempoh pegangan tertentu, lazimnya sehingga 99 tahun sebelum perlu diperbaharui.

Bagi rumah bertingkat atau komuniti berpagar, pembeli juga perlu memahami konsep Strata Title, manakala rumah bertanah lazimnya menggunakan Individual Title.

Jika membeli hartanah Bumiputera atau di Tanah Rizab Melayu, terdapat syarat pemilikan tertentu yang perlu dipatuhi.

Jangan Tengok Ansuran Bulanan Sahaja

Kesilapan paling biasa dilakukan pembeli rumah pertama ialah hanya melihat jumlah ansuran bulanan.

Hakikatnya, kos memiliki rumah jauh lebih besar.

Selain wang pendahuluan, pembeli perlu menyediakan peruntukan bagi bayaran guaman, duti setem, laporan penilaian, kos ubah suai, perabot serta dana kecemasan.

Sebagai contoh, bagi rumah berharga RM600,000, jumlah wang yang wajar disediakan bukan sekadar deposit 10 peratus, sebaliknya sekitar 25 peratus daripada harga rumah, iaitu kira-kira RM150,000 bagi menampung keseluruhan kos pembelian.

Perancangan awal akan mengelakkan pembeli berdepan tekanan kewangan selepas menerima kunci rumah.

Pastikan Rekod Kewangan Bersih

Sebelum meluluskan pinjaman, bank bukan hanya melihat jumlah gaji.

Sebaliknya, institusi kewangan akan menilai Debt Service Ratio (DSR), rekod pembayaran balik hutang serta laporan kredit seperti CTOS dan CCRIS.

Pendapatan tinggi tidak semestinya menjamin kelulusan pinjaman jika komitmen hutang terlalu banyak atau rekod bayaran tidak memuaskan.

Sebaiknya, selesaikan hutang kecil terlebih dahulu, elakkan tunggakan kad kredit dan pastikan setiap bayaran dibuat mengikut jadual.

Semakin rendah DSR, semakin tinggi peluang untuk mendapatkan pembiayaan.

Bandingkan Harga, Bukan Sekadar Diskaun

Ramai pembeli mudah tertarik dengan promosi pemaju yang menawarkan rebat, diskaun atau skim tanpa deposit.

Namun, harga yang kelihatan murah tidak semestinya memberi nilai terbaik.

Cara terbaik ialah membandingkan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 hartanah di kawasan yang sama.

Lihat harga setiap kaki persegi, kemudahan sekitar, akses pengangkutan, reputasi pemaju dan potensi kenaikan nilai hartanah pada masa hadapan.

Pendekatan ini memberi gambaran lebih jelas sama ada sesuatu rumah benar-benar berbaloi atau sekadar kelihatan murah kerana promosi.

Manfaatkan Insentif Yang Disediakan Kerajaan

Pembeli rumah pertama juga boleh memanfaatkan pelbagai insentif kerajaan.

Antaranya ialah pengecualian duti setem bagi hartanah yang layak, Skim Rumah Pertamaku, Rumah Selangorku dan Residensi Wilayah yang menawarkan peluang pemilikan rumah pada harga lebih mampu milik.

Sebelum membuat permohonan, semak syarat kelayakan kerana setiap skim mempunyai kriteria yang berbeza.

Pilih Pinjaman Perumahan Yang Sesuai

Pinjaman perumahan akan bersama anda selama puluhan tahun.

Oleh itu, jangan terburu-buru menerima tawaran pertama.

Bandingkan kadar keuntungan atau faedah, tempoh pembiayaan, fleksibiliti pembayaran serta perlindungan seperti Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) dan Mortgage Level Term Assurance (MLTA) sebelum membuat keputusan.

Perbezaan kadar yang kecil sekalipun mampu menjimatkan puluhan ribu ringgit sepanjang tempoh pinjaman.

Pastikan Dokumen Lengkap

Bagi mempercepatkan proses permohonan pinjaman, sediakan semua dokumen penting lebih awal.

Antaranya salinan kad pengenalan, slip gaji tiga hingga enam bulan, penyata bank, penyata KWSP, borang cukai pendapatan, dokumen tempahan rumah serta bukti aset jika diperlukan.

Bagi individu bekerja sendiri, dokumen pendaftaran syarikat dan penyata kewangan juga lazimnya diperlukan.

Semak Ejen Hartanah Sebelum Membayar Deposit

Dalam keghairahan membeli rumah, jangan abaikan aspek keselamatan.

Pastikan ejen hartanah yang berurusan dengan anda berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (BOVAEP).

Ejen berdaftar mempunyai nombor pengenalan rasmi dan tag pengiktirafan yang boleh disemak sebelum sebarang bayaran dibuat.

Elakkan menyerahkan wang tempahan kepada individu yang tidak dapat membuktikan status mereka sebagai ejen berdaftar.

Rumah Pertama Bukan Perlumbaan

Memiliki rumah sendiri sememangnya satu pencapaian besar dalam kehidupan.

Namun, keputusan membeli rumah tidak seharusnya dibuat kerana terikut-ikut rakan atau bimbang harga akan terus meningkat.

Rumah pertama yang baik bukan semestinya rumah paling besar atau paling mewah, tetapi rumah yang benar-benar sesuai dengan keperluan, kemampuan kewangan dan perancangan hidup anda.

Apabila ilmu, persediaan dan disiplin kewangan berjalan seiring, impian memiliki rumah pertama bukan lagi sesuatu yang mustahil, malah boleh menjadi asas kukuh untuk membina masa depan yang lebih terjamin.

Intipati
  • Pembeli rumah pertama disaran menentukan tujuan pembelian berdasarkan keperluan hidup dan perancangan masa depan.
  • Kos memiliki rumah meliputi deposit, guaman, duti setem, ubah suai dan dana kecemasan.
  • Rekod kewangan, perbandingan harga, insentif kerajaan dan ejen berdaftar perlu disemak lebih awal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan