Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tak Sangka, Ini Jarak Jari Kita 'Bergerak' Bila Scroll Telefon Dalam Sehari
Dalam kehidupan seharian sekarang, telefon pintar memang susah untuk dipisahkan daripada kita.
Ke mana sahaja pergi, telefon sering menjadi teman setia sama ada ketika menunggu kenderaan, berehat atau sebelum melelapkan mata.
Tanpa disedari, ramai antara kita akan membuka aplikasi media sosial dan mula scroll pelbagai kandungan yang muncul di skrin.
Kadang-kadang niatnya cuma mahu lihat sekejap, tetapi tahu-tahu masa sudah berlalu begitu sahaja.
Namun pernahkah kita tertanya-tanya, berapa lama sebenarnya kita menghabiskan masa di media sosial dan sejauh mana jarak ibu jari bergerak setiap hari?
Apabila dilakukan berulang kali setiap hari, jarak pergerakan itu sebenarnya boleh menjadi lebih jauh daripada yang kita bayangkan.
Berdasarkan data daripada Statista, pengguna media sosial secara purata menghabiskan masa sekitar 108 minit sehari untuk scroll kandungan di platform media sosial.
Jika seseorang secara purata menghabiskan masa 108 minit sehari untuk scroll media sosial, dan menggerakkan ibu jari kira-kira 30 sentimeter setiap lima saat, ini bermakna dalam tempoh 108 minit sahaja, ibu jari kita sudah bergerak sejauh 38,880 sentimeter.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 388.8 meter atau 0.38 kilometer.
Nampak kecil, tetapi bayangkan jarak tersebut hanya datang daripada pergerakan ibu jari dalam masa sehari.

Namun, angka itu menjadi lebih mengejutkan apabila dikira dalam tempoh yang lebih panjang.
Dalam masa seminggu, jarak scroll ibu jari kita boleh mencecah kira-kira 2.7 kilometer.
Selepas sebulan pula, jumlahnya meningkat kepada sekitar 12.1 kilometer.
Manakala dalam tempoh setahun, ibu jari kita secara tidak sedar telah bergerak sejauh 141.912 kilometer, iaitu bersamaan kira-kira jarak tiga setengah larian maraton.
Selepas mengetahui sejauh mana ibu jari kita bergerak hanya dengan scroll telefon, mungkin ramai mula tertanya-tanya sama ada kita sebenarnya menghabiskan terlalu banyak masa di skrin.
Tidak hairanlah jika pakar kesihatan mula memberi perhatian terhadap tabiat penggunaan telefon yang semakin sukar dipisahkan daripada kehidupan harian.
Selain kesan terhadap kesihatan mental, penggunaan telefon secara berlebihan juga boleh memberi kesan kepada tubuh badan.
Pergerakan ibu jari yang dilakukan berulang kali ketika scroll atau menaip berpotensi menyebabkan masalah seperti scroll thumb, iaitu keadaan apabila ibu jari mengalami sakit, kekejangan, keradangan atau sukar digerakkan akibat penggunaan yang terlalu kerap.

Walaupun scroll media sosial sudah menjadi kebiasaan ramai orang, mungkin ada masanya kita perlu berhenti seketika dan melihat semula berapa banyak masa yang telah dihabiskan di hadapan skrin.
Beberapa jam yang digunakan untuk melihat kandungan dalam talian mungkin sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk melakukan aktiviti lain yang lebih bermanfaat.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna kita perlu menjauhkan diri sepenuhnya daripada dunia digital.
Internet tetap memainkan peranan penting dalam kehidupan moden, sama ada untuk bekerja, berhubung dengan orang lain, mendapatkan maklumat atau mempelajari perkara baharu.
Apa yang penting adalah kawalan dan keseimbangan. Teknologi sememangnya memudahkan kehidupan, tetapi jangan sampai kita terlalu leka dengan dunia di dalam skrin sehingga terlupa menikmati dunia sebenar di sekeliling kita.