Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Rakyat Malaysia Sambut Aidilfitri Cara Berbeza Di Taiwan

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Berbaki dua hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti lebaran kali ini mencipta sejarah baharu dan memberikan suasana berbeza apabila masyarakat terpaksa beraya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Situasi sama turut dirasai rakyat Malaysia yang berada di luar negara apatah lagi mereka juga tidak dapat meraikan ketibaan Syawal bersama keluarga tersayang memandangkan seluruh dunia masih ‘bertempur’ dengan penularan wabak pembunuh COVID-19.

Nur Adibah Adammi, 34, yang sudah berada di Taiwan selama enam tahun bagi mendalami bahasa Mandarin berkata dalam tempoh mencabar ini, sambutan Aidilfitri bakal diraikan dalam keadaan sedikit berbeza dan secara bersederhana susulan pandemik COVID-19.

“Hari Raya akan disambut dengan lebih sederhana bersama sekumpulan kecil teman rapat, kehidupan di Taiwan masih normal dan dibenarkan bergerak bebas tetapi dengan langkah berjaga-jaga.

“Biasanya, pada hari pertama Syawal, kami akan pergi ke masjid untuk solat Hari Raya, inilah masanya untuk saya bertemu dengan rakyat Malaysia yang lain serta umat Islam dari pelbagai negara,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan Biro Pelancongan Taiwan di Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pada tahun ini mereka  tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan berkumpulan besar dan tiada solat Hari Raya di masjid dilakukan bagi membendung penularan COVID-19.

Dalam pada itu, Adibah yang turut meniaga sambal sendiri di Taiwan itu, berkata dirinya tidak merasa kesunyian berada di perantauan dan berjauhan dengan keluarga kerana hubungan sesama rakyat Malaysia di sana amat rapat dan mesra.

Sementara itu, pelajar Ijazah Kedoktoran Oseanografi Marin, Universiti Nasional Taiwan, Amirah Hurzaid, 34, berkata bagi mendapatkan semangat Aidilfitri, beliau akan memainkan lagu raya sepanjang hari di makmalnya dan turut menghantar kad Hari Raya kepada keluarga dan rakan baik di tanah air.

Beliau turut mengakui sambutan lebaran pada kali ini sedikit berbeza kerana tidak dapat menyambutnya bersama suami tercinta berikutan tiada penerbangan ditawarkan ke negara itu pada ketika ini.

“Saya juga tidak pasti jika ada perjumpaan bersama rakan senegara. Bagaimanapun, saya masih akan menyediakan rendang dan ketupat serta berkongsi dengan rakan makmal saya,” katanya yang dijangka pulang ke tanah air September depan.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd