Siakap Keli

PDRM Tegas Sekat Perjalanan Rentas Negeri

KUALA LUMPUR, 22  Mei — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemeriksaan teliti terhadap semua kenderaan yang mahu melintasi sempadan negeri di semua sekatan jalan raya bagi memastikan tiada perjalanan rentas negeri yang bertujuan menyambut Aidilfitri dilakukan.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias  menasihati mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian agar tidak mencuba nasib.

“Mereka yang ingkar akan diarah berpatah balik. Kami tidak akan berkompromi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya sikap golongan ini juga mengganggu aliran trafik bagi kenderaan perkhidmatan penting kerana menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di sekatan jalan raya.

Ditanya mengenai aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak yang merupakan laluan utama ke selatan, utara dan pantai timur, beliau berkata pergerakan di ketiga-tiga plaza tol terbabit adalah lancar setakat ini.

Beliau berkata PDRM turut mengadakan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Bukit Mahkota dan Plaza Tol Skudai di samping jalan-jalan susur keluar di plaza tol di setiap negeri.

Kredit gambar: BERNAMA

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak setakat 6.30 petang tadi mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya adalah baik dan trafik juga lancar.

Kesesakan yang berlaku di plaza tol utama terbabit adalah berpunca daripada sekatan jalan yang dilakukan pihak berkuasa.

Seorang anggota PDRM yang sedang bertugas di Plaza Tol Gombak berkata rata-rata pengguna jalan raya ketika ini merupakan mereka yang perlu merentas negeri untuk ke tempat kerja.

“Hampir semua yang ditahan (untuk pemeriksaan) merupakan mereka yang bekerja merentas negeri dan mereka mempunyai surat kebenaran untuk berbuat demikian.

“Sekiranya terdapat daripada mereka yang lolos dalam usaha untuk merentas negeri. Ingatlah bahawa terdapat sekatan jalan raya yang ketat turut diadakan di susur keluar setiap negeri,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.