Siakap Keli

TNB Sedia Bantu Isu Bil Elektrik Tinggi Akibat Sambungan Semula Pembacaan Meter

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Pengguna perkhidmatan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak perlu bimbang berhubung isu bil elektrik berikutan penyambungan semula pembacaan meter yang dihentikan sementara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai aduan netizen mengenai bil tinggi yang diterima menerusi pembacaan bil fizikal yang disambung semula sejak 15 Mei.

“Janganlah khuatir. TNB sentiasa berlaku adil dan sensitif dengan kegelisahan segelintir pengguna yang menerima bil sebegini.

“Pegawai Khidmat Pelangggan kami di talian TNB CareLine 1300 88 5454 dan di Kedai Tenaga sentiasa bersedia untuk membantu menjelaskan mengenai perkiraan dan bagaimana pelarasan bil dibuat,” katanya.

TNB sebelum ini memaklumkan bil pelanggan akan diselaraskan sebaik pembacaan bil disambung semula.

Semasa operasi pembacaan meter dihenti sementara dalam tempoh PKP lepas, TNB mengeluarkan bil anggaran berdasarkan bil bulan sebelum PKP berkuatkuasa.

Pelanggan TNB juga boleh mendapatkan makluman mengenai perkiraan bil semasa PKP dengan melayari https://www.tnb.com.my/prihatin.

Susulan impak COVID-19, Mahdzir berkata pada 14 Mei lepas, TNB mengumumkan pakej pasca PKP merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar (sehingga 30 Sept) dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan (sehingga 31 Julai).

Katanya, pakej itu ditawarkan secara automatik kepada 7.5 juta pelanggan kediaman.

Selain pakej pasca PKP, kata Madhzir TNB juga menawarkan diskaun berperingkat berjumlah dua hingga 50 peratus bagi penggunaan dari 1 April hingga 30 Sept.

“Diskaun berperingkat dan pakej pasca PKP ini diharap dapat meringankan lagi beban rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19,” tambahnya.

Maklumat lanjut pakej itu boleh dicapai di pautan https://www.tnb.com.my/prihatin serta talian TNB CareLine dan Kedai Tenaga berhampiran.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang